22 April 2013

Ibrahim Ali dan calon bebas Umno: Antara dua darjat

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Dr Mahathir menyertai satu majlis anjuran Ibrahim Ali sebelum ini)
  
KUALA LUMPUR: Barisan pimpinan tertinggi Umno  semuanya hendak calon Bebas dari Umno dipecat tapi membisu tatkala dalam kes orang kesayangan Mahathir, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Bermula dari Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BN Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua tidak memberikan sebarang ulasan pencalonan Ibrahim di Pasir Mas.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa, yang tidak menyerahkan borang penamaan calonnya bagi pilihan raya umum ke-13 dan memberikan laluan percuma kepada Ibrahim juga diumumkan bakal dipecat oleh Setiausaha Agong Umno Tengku Adnan Tengku Mansor.



(Naib Ketua Wanita Umno sudah dianggap 'kupang tembaga' oleh Umno, tetapi Ibrahim Ali...)

Pada masa yang sama calon Bebas dari Umno menghadapi pemecatan, Ibrahim pula bakal mendapat bantuan daripada jentera BN.

Menurut Setiausaha BN Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad yang dipetik The Malaysian Insider, BN terbuka untuk membantu Ibrahim.

“Ini terpulang pada beliau jika beliau mahu menumpang. Pandai-pandai dia la,” kata Md Alwi.

“Apa yang penting, PAS ada lawannya,” tambah Md Alwi lagi yang membayangkan BN akan membantu Ibrahim.

Sebelum ini, Mahathir telah merayu supaya Ibrahim diberikan tempat untuk bertanding oleh BN di Pasir Mas.

Namun begitu, nama Ibrahim tidak muncul ketika Najib mengumumkan calon tapi naib presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin diberikan laluan di Shah Alam.

Petang itu, SMS tersebar bahawa ada komplot untuk membatalkan pencalonan Che Johan untuk memberi laluan kepada Ibrahim untuk berlawan satu lawan satu dengan calon PAS Nik Abdul Nik Mat.

Ibrahim juga mengadakan sidang media mengenai ketidakpuasan hatinya dan berjanji akan bertanding bebas.

Calon-calon BN kali ini dilabel sebagai calon Kak Ros – apabila orang yang dibenci dan disukai Mahathir menerima nasib berbeza. 
Contohnya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dicalonkan, anak Mahathir, Mukhriz diletakkan di DUN Ayer Hitam, kubu PAS dan bukannya Kota Seputih yang disandang Umno.

Akhirnya, apa yang diceritakan SMS itu terbukti benar, di mana Che Johan yang hadir di bilik penamaan calon enggan menyerahkan borangnya. 

Beliau berkata beliau menganggap Ibrahim sebagai ayahnya, kerana itu tidak sanggup bertanding melawannya.

“Ibrahim didokong macam raja tapi ahli sendiri bertanding, Umno dianggap najis. Wanita Umno sudahpun bergolak. Layanan dua darjat ini bakal menimbulkan rasa tidak puas hati besar-besaran penyokong Umno yang sudahpun terguris hati apabila calon mereka tidak masuk senarai calon Kak Ros,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily malam tadi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: