22 April 2013

Naluri abang sebelum ajal adik

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Naluri abang sebelum ajal adik

Anggota polis mengangkat mayat mangsa (gambar kecil).
KUALA NERUS – Zuliya Zaki, 46, sama sekali tidak menyangka perasaan kurang enak dirasainya sejak awal pagi merupakan petanda adik disayanginya, Zuriman Zuki, 36, akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

Zuriman, bapa kepada dua anak maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada badan apabila motosikal ditungganginya terbabas, dan melanggar pagar di tepi jalan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang di Kampung Mengabang Telipot di sini.

“Patutlah sejak pagi tadi (semalam) saya rasa tidak sedap hati dan mungkin ia menjadi petanda bahawa kami sekeluarga akan kehilangan adik bongsu (Zuriman), namun kami reda,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, adiknya yang juga bapa tunggal itu keluar dari rumah kira-kira jam 3.20 petang untuk mengambil anaknya di sebuah sekolah agama di Tok Jiring, di sini.

“Saya sedang berehat di rumah sebelum seorang jiran memaklumkan, adik terbabit dalam kemalangan dan saya segera ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 150 meter dari rumah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, dia sudah tidak bernyawa, manakala anaknya yang berusia sembilan tahun hanya mengalami luka-luka kecil di badan,” katanya.

Menurutnya, adik itu tinggal bersamanya sekeluarga di rumah pusaka bersama dua anaknya setelah berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.

“Sebelum kejadian, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan atau berkelakuan pelik, sebaliknya saya pula rasa kurang sihat dan tidak selesa sepanjang hari ini (semalam) dan mungkin ia petanda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sinar/-

Tiada ulasan: