22 April 2013

Replika kapal terbang PRU13 terus dikunjungi

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



SIK: Replika kapal terbang PRU13 kini menjadi mercu tanda Kampung Batu Besar, 16 kilometer dari pekan Sik.

Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi kampung berkenaan, semata-mata mahu melihat atau mengambil gambar replika kapal terbang.


Idea membina replika kapal terbang itu dicetuskan oleh ulama tersohor yang juga Penaung Madrasah Al-Rahmaniah, Tuan Guru Haji Salleh Musa.


Menurut Ramli Abdul Rahman (gambar), beliau tidak mengambil masa lama untuk membina rangka replika kapal terbang itu setelah ia dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Salleh.

Katanya, replika yang dibina sebelum pembubaran parlimen itu turut dibantu oleh anak-anak muda PAS setempat yang berjaya disiapkan dengan kos kira-kira RM7,000 untuk membeli kayu, besi, buluh, batang paip, lampu dan lain-lain.

Beliau menjelaskan, replika yang berukuran 58 kaki panjang, 56 kaki lebar dan perimeter 40 kaki itu berjaya disiapkan dalam masa sekitar dua bulan.

“Para pengunjung sekarang sekitar 1,000 ke 2,000 orang sehari, dari kanak-kanak hingga warga emas dan lebih ramai lagi pada hari cuti,” jelasnya kepada Harakahdaily ketika ditemui petang semalam.

Menariknya, kata beliau ada pelawat yang terpaksa datang semula kerana tidak dapat masuk ke dalam replika itu disebabkan pengunjung ramai.

Beliau memberitahu, kira-kira 5,000 orang hadir semasa perasmian replika itu yang dilakukan bersama oleh Tuan Guru Haji Salleh, calon-calon PRU13 iaitu Che Uda Che Nik (Parlimen Sik), Abu Bakar Bakilani (Dun Belantek) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Dun Jeneri).

Katanya, anak-anak muda tempatan dan anggota Unit Amal Sik bertugas 24 jam bagi mengawal lalu lintas ekoran pengunjung yang semakin bertambah termasuk pelancong luar negara.

“Pihak kami juga menjual baju-T, jam dinding dan payung sebagai cenderahati kepada pelawat,” ujarnya.


Pelawat semua peringkat usia mahu menaiki 'kapal terbang'.


Keadaan bahagian dalam.


Ruang 'pilot'.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

ambo berkata...

Coooool!! Kelas betul tempat duduk penumpang.