01 Mei 2013

Mengaku curi kenderaan mewah

20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Nor Hashim

Nor Hashim (dua, kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dicuri.
NUSAJAYA – Tindakan licik seorang lelaki mencuri kenderaan mewah dengan menukar nombor pendaftaran negara asing bagi mengaburi pihak berkuasa, tidak berjaya apabila akhirnya dia dicekup.

Dalam kejadian 23 April lalu, seorang jurujual alat solek tergamam apabila kenderaan jenis BMW 320i miliknya dilarikan penjenayah ketika sedang memasukkan barang dalam kenderaannya itu di sebuah pasar raya di Bukit Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, hasil maklumat itu, sepasukan polis melakukan intipan di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai dan selepas 10 minit intipan, suspek berusia 27 tahun dicekup bersama kenderaan yang dilarikan.

“Hasil siasatan awal dan pengakuan suspek, dia terlibat dalam kes curi kenderaan mewah sebanyak lima kes di Nusajaya dan menjalankan kegiatan itu secara solo.

“Modus  operandi suspek ialah menukar nombor pendaftaran kenderaan ini dengan plat negara asing sebelum menjualnya kepada orang tengah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Nusajaya, di sini, semalam.

Nor Hashim berkata, ujian saringan mendapati suspek positif dadah dan ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (curi motokar).

“Kita percaya dengan tertangkapnya lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan mewah di Nusajaya.

“Suspek yang pernah ditahan atas kesalahan yang sama dipercayai melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, 11 lelaki ditahan terlibat dalam kejadian pergaduhan 21 April lalu dipercayai antara dua kumpulan kongsi gelap yang berpunca mengenai dadah.

Dalam kejadian 3.45 pagi di Kuil India di Taman Bukit Indah itu menyebabkan empat mangsa mengalami kecederaan dan seorang dimasukan ke wad ICU, Hospital Sultanah Aminah.

“Dalam pergaduhan ini dianggarkan 20 orang terlibat dan polis berjaya menahan 11 daripada mereka berusia antara 20 hingga 35 tahun di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya pergaduhan ini berlaku disebabkan perebutan kawasan tempat menjual dadah,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: