17 Mei 2013

Usah mimpi PR sokong persempadanan semula

7 Rejab 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Usah mimpi kerajaaan Barisan Nasional (BN) akan mendapat sokongan Pakatan Rakyat bagi meluluskan kajian persempadanan kawasan pilihan raya sekiranya ia tidak dilakukan secara telus dan adil.


Anggota parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, tanpa mendapat sokongan dua pertiga di parlimen, rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak akan diluluskan.

“Ini kerana persempadanan kawasan pilihan raya sebelum ini hanya dibuat bagi menguntungkan BN semata-mata. Bukti dapat dilihat di kawasan bandar yang mempunyai sehingga lebih 100,000 pengundi tidak diwujudkan kawasan baru.

“Sedangkan kawasan pedalaman yang tidak ramai penduduk dipecah-pecah kepada lebih kecil dengan harapan memberi keuntungan Umno dan BN,” katanya pada ceramah perdana di Dataran Stadium malam tadi.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besaar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Turut hadir Presiden R, Nazri Deraman dan Presiden K, Zulkapli Yaacob. Puluhan ribu mengikuti ceramah sulung selepas pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof membayangkan pihaknya akan melakukan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mengadapi pilihan raya umum ke-14.

Mengikut amalan setiap lapan hingga 10 tahun kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilakukan dengan mengambil kira pertambahan penduduk. Bagaimanapun rang undang-undang yang dicadangkan itu perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota parlimen.

Anthony yang juga Adun Rasah berkata, pada PRU-13 lalu bandar-bandar besar yang menjadi ibu negeri dikuasai sepenuhnya Pakatan Rakyat kecuali Johor Bahru dan Kangar.

Menurutnya juga DAP akan terus bersama Pakatan Rakyat bagi menggantikan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak akan layan biar pun ada kenyataan veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya DAP mennyertai BN sebagai menggantikan MCA dan Gerakan. Kita berjuang bukan kerana jawatan sebaliknya mahu menggantikan kerajaan yang zalim dan korup,” ujarnya.

Sementara itu Tuan Guru  Nik Abdul Aziz berharap orang ramai mendoakan kesihatannya lebih baik bagi membolehkan beliau sekali lagi dapat turut berkempen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

“Kalau mengikut sirah Nabi Muhammad saw selepas tiga bulan tidak turun wahyu, baginda akhirnya dipanggil mengadapi Ilahi. Saya tidak tahu sama ada masih hidup dalam tempoh tiga bulan, tiga  tahun akan datang.

“Tuan puan pakat-pakat berdoa semoga saya masih sihat dan dapat menyumbang tenaga bagi mengahadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: