Harakahdaily, | 17 Mei 2013 |
KUALA LUMPUR: Setelah menjadi menteri, Khairy Jamaludin membuat dua kenyataan penting. Pertama, pandangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya pandangan peribadi, kedua beliau akan menjadi menteri untuk semua belia.
(Khairy ketika mula masuk ke pejabatnya hari ini - pic Malaysiakini)
"Itu adalah pandangan peribadinya. Tidak mencerminkan pendirian kerajaan," kata Khairy dalam sidang medianya mengulas pandangan Zahid dalam tulisannya di akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Zahid semalam menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari, sama ada list system atau single transferable vote di negara republik.
Menteri dalam negeri itu menulis di Utusan Malaysia, merujuk kepada siri perhimpunan besar pembangkang di seluruh negeri yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Khairy juga hari ini berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan menjadi kementerian kepada semua dan beliau akan berbincang dengan semua pihak bagi mencapai hasrat ini.
"Saya akan menulis surat kepada semua Pemuda parti politik, Pemuda PAS, datang bersembang dengan saya, apa idea kamu, dan apa jangkaan kamu. Ini cara saya untuk mempromosi national reconciliation.
"Ini adalah kementerian belia dan sukan Malaysia, bukan kementerian belia dan sukan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media pertamanya hari ini selepas mengangkat sumpah sebagai menteri.
Sejak lima tahun dahulu Khairy disisihkan oleh pentadbiran Najib kerana bimbangkan tentangan dari musuh peribadinya, Tun Dr Mahathir.
Namun, Najib mengambil Khairy dalam kabinetnya kali ini.
Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan perlantikan Khairy sebagai pertahanan Najib untuk melawan kritikan Tun Dr Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan