9 Syaaban 1434 H. [MOD] -
JAKARTA 18 Jun - Kira-kira 64 juta rakyat Indonesia menjadi pengguna aktif Facebook dan sekali gus meletakkan negara ini sebagai antara lima pasaran terbesar bagi tapak rangkaian sosial itu.
Kedudukan ini mendorong Facebook untuk meraih manfaat kewangan daripadanya dengan mempelawa syarikat perniagaan kecil dan sederhana menyiarkan iklan di laman itu.
"Ini adalah perangkaan dalaman kami tentang pengguna aktif secara bulanan sehingga Mac," kata Naib Presiden Facebook bagi rantau Asia Pasifik, Dan Neary seperti yang dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris The Jakarta Post pada Selasa.
Beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, Facebook, yang beribu pejabat di Menlo Park, California, mempunyai 1.1 bilion pengguna di seluruh dunia dan 390 juta pengguna aktif di Asia Pasifik.
Beliau berkata, Indonesia mengatasi beberapa negara lain kerana ia mempunyai jumlah pengguna telefon bimbit yang amat ramai berikutan kadar penembusan jalur lebar bergeraknya yang lebih tinggi daripada kadar penembusan jalur lebar tetap.
Ini, kata beliau, menepati strategi Facebook untuk muncul sebagai sebuah syarikat yang menawarkan 'perkhidmatan bergerak' yang lebih terkemuka.
Harian itu berkata Indonesia merupakan pasaran yang dipacu 'kemudahan bergerak'.
Langganan telefon bimbit di Indonesia - negara yang mempunyai lebih 240 juta penduduk - mencapai 290 juta pada 2012 apabila ramai penduduknya menggunakan dua atau lebih peranti itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan