18 Jun 2013

Kuota haji: Utamakan bakal jemaah kali pertama

9 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS menggesa Lembaga Tabung Haji memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji kali pertama ekoran pengurangan 20 peratus kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan kouta yang terhad, seharusnya jemaah haji kali pertama perlu diberi keutamaan berbanding mereka yang pernah menunaikannya sebelum ini.

"Kita minta untuk Tabung Haji penuhi kouta yang ada itu untuk mereka yang baru kali pertama mengerjakan haji.
"Tidak boleh lagi ada perkiraan orang yang dah pergi boleh pergi lagi. Ketegasan pengurusan Tabung Haji diperlukan dalam situasi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagi mengulas isu kuota haji yang dikurangkan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

Difahamkan pengurangan kuota jemaah haji itu adalah berikutan arahan terbaharu kerajaan Arab Saudi berikutan kerja pembesaran Masjidil Haram di Makkah.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mencadangkan pihak Tabung Haji agar mengambil inisiatif lain dengan menanyakan kepada negara-negara lain yang berkemungkinan tidak memenuhi kuota negara mereka.

"Saya rasa ada negara yang kuotanya tidak penuh, dan Tabung Haji boleh berbincang untuk menghantar jemaah Malaysia menggunakan kuota negara tersebut," kata Mahfuz.


Harakahdaily/-

Tiada ulasan: