1 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Ust. Ahmad Baei Jaafar
Kebahagian rumah tangga menjadi idaman semua pasangan yang berkahwin. Bukan sahaja mereka idamkan semua itu pada awal perkahwinan tetapi sampai ke akhir hayat malah sampai ke dalam syurga.
Tetapi kadang-kadang idaman itu tidak tercapai kerana hanya beberapa punca yang kecil.
Mungkin kerana suami mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh isteri dan isteri pula mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh suami.
Suka dijelaskan di sini, suami dan isteri masing-masing mempunyai rahsia yang mereka terpaksa simpan kerana tidak mampu untuk menjelaskannya secara lisan. Di sinilah titik mula masalah sebenar.
Dalam hal ini pasangan itu perlu memahami rahsia diri pasangannya secara pandangan mata hati dan merasainya melalui gerak hati. Dengan cara itu sahaja mereka dalam lakukan yang terbaik untuk keluarga mereka.
Tetapi kalau sesama mereka ada hijab yang menutup hati kecil mereka, pasti mereka tidak nampak apa yang dihajati pasangannya. Perlu diingat, untuk membuka hijab itu mereka perlulah bertolak ansur dan cuba menurunkan ego masing-masing terutamanya isteri.
Sebenarnya seseorang suami ada menyimpan beberapa rahsia yang malu untuk dijelaskan kepada isterinya kerana takut ditertawakan isterinya. Antara rahsia itu ialah suami mahu “bermanja” dengan isteri apatah lagi pada usia tuanya. Selain itu suami mahu dia dibelai dan hormati isteri sepanjang masa.
Supaya lebih jelas suka dipaparkan contoh terbaik dan yang pasti rujukannya ialah Rasulullah. Baginda adalah panduan kita ke arah memacu bahteri keluarga bahagia.
Perhatikan dua perkara yang sering dilakukan baginda.
1. Berbaring dipangkuan isteri
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran" (Hadis Riwayat Abdurrazaq).
Kalau para isteri sedar, suami anda sesekali menyandar dan menyentuh bahu anda. Malah kadang-kadang dia berbaring di atas paha anda. Itulah tandanya dia hendak bermanja.
Tetapi kadang-kadang isteri cuba mengelak dan bangun.
Sebenarnya suami pada ketika itu akan berasa kecewa, tetapi dia tidak berani untuk melahirkan rasa kecewa itu.
Suami memang hendak bermanja dengan isteri, bukan sahaja pada waktu malam tetapi juga pada waktu berehat di siang hari.
Bayangkan kalau rasulullah mahu bermanja dengan isterinya, dan isterinya pula reda dengan sikap baginda, mengapakah isteri-isteri pada hari ini tidak boleh melakukan begitu juga.
Percayalah kalau suami boleh bermanja dengan suami, dan isteri sanggup melayan kehendak suami itu, pasti akan tercantum rasa sayang yang berkekalan. Pastinya, isteri yang memahami sikap manja suami itu akan diberi pahala oleh Allah.
2. Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Umairah yang memberi maksud pipi merah bak delima.
Dalam budaya masyarakat kita, suami memanggil isterinya dengan namanya yang manja atau “yang” bagi maksud sayang.
Ada juga yang menyebut “bib” yang bermaksud habibi, kekasihku dan banyak lagi. Sebaliknya isteri akan memanggil suami dengan panggilan “abang” atau “bang” yang juga dengan nada manja.
Panggilan sebeginilah yang akan membuahkan rasa sayang sentiasa berputik di hati suami. Namun begitu terdapat juga panggilan manja kerana sudah biasa dengan panggilan itu.
Lahirnya panggilan itu bukan kerana ikhlas dari hati lagi.
Dalam masyarakat Melayu, panggilan manja itu lazimnya hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi semakin pudar apabila sudah beransur tua. Malah mereka malu untuk memanggil dengan panggilan manja, kononnya malu kepada anak dan cucu. Inilah keadaan yang tidak kena kepada masyarakat kita, malah sikap mereka jauh daripada kehendak Rasulullah.
Seharusnya sebagaimana suami memanggil isteri dengan kasih sayang itulah yang sepatutnya disambut oleh isteri. Panggilan mersa pada setiap kali memulakan ucapan dan kata-kata merupakan sentuhan yang boleh membangkitkan rasa sayang antara mereka.
Jadi, binalah kemesraan dengan saling manja bermanja dan sebagainya. Semoga kita beroleh bahagia. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan