09 Julai 2013

3,000 Polis Termasuk 200 Pegawai Kawal PRK Kuala Besut


30 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA BESUT: Polis Kontinjen Terengganu menempatkan kira-kira 3,000 anggotanya termasuk 200 pegawai untuk mengawal dan memastikan proses pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut berjalan lancar.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata turut membantu dalam PRK itu ialah anggota sukarelawan polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam khasnya dalam mengawal keselamatan awam, trafik dan persiapan menghadapi sebarang bencana ketika PRK itu.
"Sepanjang tempoh kempen bermula 12 Julai hingga 24 Julai hari mengundi polis akan mewujudkan 25 pos kawalan di setiap lokasi yang kita anggap adalah kawasan panas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kuala Besut di sini Selasa.
Beliau berkata langkah keselamatan yang diambil adalah untuk memastikan pengundi dan penduduk di Kuala Besut berasa lebih selamat sepanjang proses PRK yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.
Menurutnya polis menjangkakan jumlah kenderaan dan orang luar yang datang ke Kuala Besut sama ada jentera parti politik yang bertanding atau pemerhati akan bertambah dalam beberapa hari lagi.
Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41 km persegi.Sementara itu beliau mengingatkan parti-parti yang bertanding agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika berkempen.
Jamshah berkata setakat ini polis belum lagi menerima sebarang permohonan dan permit untuk kempen PRK di Kuala Besut.
"Kita akan mengadakan perjumpaan dengan parti-parti yang bertanding dalam tempoh terdekat untuk menjelaskan peraturan yang perlu mereka patuhi, " katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: