09 Julai 2013

Atlet Wanita P.Pinang Tidak Dibenar Sertai Sukma Jika Tiada Jaminan Keselamatan - Guan Eng

30 Syaaban 1434 H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Atlet wanita dari Pulau Pinang mungkin tidak akan dibenarkan mengambil bahagian pada Sukan Malaysia (Sukma) pada masa hadapan sekiranya keselamatan mereka tidak terjamin, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan bebas harus dijalankan terhadap insiden rogol yang berlaku ketika temasya sukan itu.
"Ini untuk memastikan insiden memalukan itu tidak berulang lagi atau Pulau Pinang mungkin mempertimbangkan untuk tidak menghantar atlet wanitanya pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lim berkata, kerajaan negeri mahu satu jaminan keselamatan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan tindakan yang akan diambil ke atas mereka cuai dalam menitikberatkan aspek keselamatan di Universiti Putra Malaysia.
"Jika Khairy gagal memberikan jaminan sedemikian, maka kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk tidak menghantar atlet wanita pada sukan tersebut," katanya.
Lim berkata terdapat beberapa aduan mengenai aspek keselamatan yang longgar di tempat penginapan atlet wanita walaupun pegawai kementerian dan penganjur Sukma memberi jaminan aspek keselamatan amat dititikberatkan.
"Jelas sekali aspek keselamatan diabaikan dan oleh itu insiden rogol yang memalukan itu boleh berlaku. Jenayah seperti itu bukan saja menjejaskan imej Sukan Sukma tetapi reputasi sukan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Mstar/-

Tiada ulasan: