26 July 2013

Jumaat Furqan: Penyokong Morsi di Raba'ah, Al-Sisi di Tahrir

17 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-

(Berpuluh-puluh ribu rakyat sedang bergerak dari Masjid Nur,Abbasiyah selepas solat terawih ke dataran Raba'ah sebagai persediaan "Jumaat Furqan")

MESIR: Dua himpunan besar-besaran akan berlangsung hari ini masing-masing bagi menyatakan sokongan satunya kepada Presiden sah Dr. Muhammad Morsi yang digulingkan tentera, dan satu lagi kepada jeneral tentera Abdul Fatah As-Sisi yang menjadi dalang penggulinagn Morsi.
Para penyokong Morsi akan menjadikan Dataran Raba'ah - yang diduduki mereka masuk minggu ketiga - sebagai pusat himpunan hari ini manakala penyokong Al-Sisi di Dataran Tahrir.

Bagi penyokong Morsi, himpunan selepas solat Jumaat hari ini digelar sebagai "Jumaat Furqan" atau "Jumaat pembeza" antara hak dan batil.

Sejurus selesai solat terawih malam tadi, berpusu-pusu penyokong Morsi bergerak ke Raba'ah bagi persediaan himpunan ini petang nanti.

Medan Raba'ah menyaksikan beberapa siri himpunan besar para penyokong Morsi sejak presiden itu digulingkan pihak tentera melalui rampasan kuasa awal Julai lalu.

Sementara itu, di Dataran Tahrir Barisan 30 Jun dan kumpulan Tamarrud yang menyokong pihak tentera juga merancang untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Al-Sisi.

Himpunan ini ekoran seruan Al-Sisi semalam yang menggesa rakyat Mesir keluar beramai-ramai bagi memberi mandat kepada tentera bertindak ke atas penyokong Morsi yang digelar Al-Sisi sebagai "pengganas".

Sehingga hari ini, kumpulan penyokong tentera masih gagal mengumpul rakyat Mesir bagi menunjukkan sokongan kepada tentera yang telah merampas kuasa.

Kedua-dua himpunan ini hari ini sangat penting bagi kedua-dua pihak khususnya pihak tentera yang mahukan mandat rakyat untuk menggunakan kekerasan menyuraikan penyokong Morsi yang telah berhimpun di seluruh Kaherah sejak tiga minggu lalu.

No comments: