26 Julai 2013

Kawasan kerap kemalangan turun kepada 146

17 Ramadhan 1434 H. [MOD] - 

Kawasan kerap berlaku kemalangan di seluruh negara telah menurun kepada 146 tahun ini berbanding 183 kawasan tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad malam tadi.

Beliau berkata antara lokasi itu ialah antara KM 12 hingga KM 70 di Kuala Lipis menuju Merapoh, KM 14 hingga KM 15 di Kuala Lumpur menuju Ipoh dan KM 4 hingga KM 13 di Johor Baharu menuju Air Hitam.

"Daripada 146 kawasan itu, 72 adalah di bawah JPJ manakala 74 di bawah polis," katanya pada sidang media di Plaza Tol Puchong arah Selatan (menghala Putrajaya) dekat Kuala Lumpur.

Terdahulu, beliau menyertai praoperasi bersepadu sempena Aidilfitri yang dijalankan bersama oleh JPJ, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom Sdn Bhd di plaza tol itu.

Ismail berkata praoperasi itu akan dijalankan sehingga 31 Julai ini sebelum Operasi Bersepadu diadakan serentak di seluruh negara dari 1 hingga 18 Ogos depan.

"Operasi ini lebih ditumpukan kepada kenderaan motosikal dan bas ekspres kerana ia sebagai penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya di seluruh negara," katanya.

Ismail berkata sebanyak 69 saman dan sembilan notis dikeluarkan oleh JPJ bagi pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu, memasang cermin gelap melebihi tahap ditetapkan dan plat nombor tidak mengikut spesifikasi.

Beliau menasihatkan para pemandu dan penunggang motosikal supaya mengutamakan keselamatan menjelang hari raya berikutan peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya.

- Bernama
 

Tiada ulasan: