06 Julai 2013

Mesir : Wajah sebenar Amerika terdedah

27 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Saya membaca berita penahanan bekas Al-Mursyidul Am khwanul Muslimin, Sheikh Muhammad Mehdi Akif oleh tentera Mesir dengan penuh kesal dan simpati. Beliau yang sudah berusia lebih 80 tahun sewajarnya tidak perlu ditahan sedemikian rupa, apalah sangat kudrat seorang tua yang sudah uzur untuk menentang kekuatan tentera Mesir? Teringat saya pertemuan dengan beliau ketika beliau menziarahi kami di Kelantan tahun lepas. Pada waktu itu turut menyambut beliau ialah Almarhum Ustaz Yahya Othman yang juga telah uzur namun menggagahkan dirinya untuk meraikan kehadiran orang penting di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin tersebut.




Hakikatnya inilah dia wajah sebenar Amerika dan Israel. Merekalah yang melaungkan demokrasi dan merekalah yang menodainya. Morsi ditabalkan sebagai presiden melalui pilihanraya yang sah bukan melalui revolusi jalanan, sewajibnya beliau diberikan peluang untuk mentadbir sehingga tamat penggal. Namun, musuh-musuhnya tidak senang duduk dan tidak mungkin dapat membiarkan pentadbiran Morsi berjalan lancar. Justeru tidak pelik jika  Amerika yang kononnya selama ini menjadi juara demokrasi tiba-tiba menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera di Mesir. Tidak terkecuali pihak yang memberikan sokongan ialah negara-negara yang terkenal selama ini menjadi alat Amerika di Timur Tengah.

Allah SWT seringkali mengingatkan kita di dalam Surah al-Fatihah yang kita baca di dalam solat bahawa golongan Yahudi dan Nasrani ialah golongan yang sesat dan dimurkai. Padahal Allah SWT boleh menggunakan kalimah Yahudi dan Nasrani di dalam surah tersebut, namun ia tidak berlaku. Allah SWT menggunakan kalimah yang menandakan sifat mereka iaitu golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai. Ia jelas menunjukkan bahawa sekalipun Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW telah pupus namun sifat mereka diwarisi oleh anak cucu mereka sehingga ke hari kiamat.

Israel mewakili Yahudi dan Amerika mewakili Nasrani sentiasa beruasaha memadamkan cahaya Allah SWT. Mereka lupa bahawa kebangkitan Islam ini umpama air yang mengalir deras. Jika disekat di tepi, ke tengahlah ia mengalir, jika dihalang di tengah, ia menerobos ke atas dan ke bawah. Jika semua arah ia ditahan, ia akan menunggu untuk menghancurkan banteng penghalang. Hari ini, rampasan tentera di Mesir hanya akan menyaksikan kebangkitan lebih besar rakyat Mesir menghancurkan gerombolan secular yang berhajat untuk kembali ke tampuk kuasa.

Saya yakin, Amerika dan Israel akan berterusan memainkan jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan demokrasi namun apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka akan mencabul demokrasi. Lihat sahaja, adakah mereka menghormati pilihan rakyat di Algeria ketika FIS digulingkan? Adakah mereka menghormati pilihan rakyat ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk berkuasa di Turki? Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat ketika Hamas memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada prinsip demokrasi?

Itulah Yahudi dan Amerika. Justeru, mereka yang tidak menghormati pilihan rakyat secara demokrasi dan berusaha menggulingkan kerajaan sah dengan membeli wakil rakyat dan sebagainya adalah saudara mara kepada Yahudi dan Amerika. Tidak ketinggalan juga yang melakukan penipuan besar-besaran di dalam pilihanraya lalu mendakwa inilah demokrasi, pun tergolong dalam golongan yang sama.

Berdoalah. Semua pencinta Islam wajib berdoa agar dikembalikan semula pemerintahan Mesir kepada yang berhak.

Salam hormat.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 27 Syaaban 1434H bersamaan 6 Julai 2013M

Tiada ulasan: