27 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Mesir yang telah selesai menghadapi musim peperiksaan dan tidak terlibat dengan program akademik seperti latihan praktikal atau 'summer course', dinasihat pulang bercuti memandangkan situasi politik negara itu yang kurang stabil.
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata para pelajar juga tidak digalak ke luar wilayah untuk aktiviti melancong, sebaliknya dinasihat tinggal di premis kediaman masing-masing. "Para pelajar juga dinasihat sentiasa mengikuti hebahan media massa, Education Malaysia Egypt (EME) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.
Katanya memandangkan majoriti pelajar kini sedang bercuti panjang selama dua bulan sehingga September mereka dinasihat balik bercuti di Malaysia untuk menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Idris berkata langkah keselamatan telah diambil dengan membuka bilik gerakan KBMK, EME di Dewan Malaysia Abbasiah, Rumah MARA Iskandariah, dan rumah-rumah negeri yang beroperasi 24 jam untuk memantau dan menjaga pelajar, selain operasi pemantauan turut digerakkan di Terminal 1 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Kaherah.
Ibu bapa dan pelajar boleh menghubungi bilik gerakan KBMK di talian +202-37610270/ +202-37610013/ +202-37610068 (sambungan 141 di luar waktu pejabat, sambungan 101 pada waktu pejabat) selain laman sosial Facebook educationmalaysiaegypt untuk mengikuti perkembangan semasa.
Situasi politik di Mesir tegang ekoran penggulingan Presiden Mohammed Morsi dan Ikhwanul Muslimin pada Selasa oleh pihak tentera negara itu.
Pertempuran antara penyokong presiden dengan tentera berlaku di beberapa bandar raya negara itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan