20 July 2013

RM324 juta "janji segera" BN di Kuala Besut

11 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

BESUT: Ahli Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Barisan Nasional telah mengeluarkan peruntukan melalui janji sebanyak RM324 juta sepanjang sembilan hari berkempen.

Beliau tidak menolak jumlah itu akan terus meningkat sehingga saat-saat akhir menjelang  pengundian pada 24 Julai nanti yang melibatkan pemberian wang tunai.

"Dua hari lepas BN telah berbelanja melalui perjanjian projek di Kuala Besut ini sebanyak RM288 juta, namun sehingga hari ini iaitu sembilan hari berkempen sebanyak RM324 juta telah dijanjikan.

"Jika mereka merasakan kempen kita kuat maka mereka akan salurkan peruntukan yang besar sehingga akhir kempen dan sehari sebelum mengundi sudah pasti ada pemberian tunai kepada pengundi untuk mereka meraih undi," jelas beliau selepas sidang media di Markas Utama PAS, Kampung Baharu.

Dr Dzulkefly menyifatkan aktiviti menyogok pengundi adalah tidak wajar dan ia merupakan satu jenayah pilihanraya.

"Mereka menggunakan wang untuk meraih undi dan kita tidak mampu melawan dari sudut tersebut.

"Apa yang kita bawa untuk rakyat adalah kelebihan serta manfaat yang diperolehi rakyat apabila keseimbangan kerusi 16:16 di Dewan Undangan Negeri.

"Kita jelaskan kepada rakyat melalui keseimbang kerusi kita dapat bertindak sebagai semak imbang untuk setiap keputusan serta projek yang dilakukan oleh kerajaan," sambungnya lagi.

Beliau yang turut berkempan dan membuat penerangan mengenai keberkesanan kedudukan kerusi 16:16 memberitahu, rakyat mula memahami serta menerima apa yang mereka perolehi jika kedudukan kerusi ini direalisasikan.

"Saya melawat semua tempat peti undi, isyarat sudah mula diterima oleh pengundi dan mereka mulai faham kenapa perlunya 16:16.

"Bukan mustahil untuk kita melakukan kejutan pada PRK kali ini, sasaran kita untuk mengurangkan majoriti telah kita capai dan sekarang kita perlu kerja keras untuk memastikan 16:16 ini bukan satu mimpi," kata beliau lagi.

Beliau yang berharap agar pengundi Kuala Besut tidak melepaskan peluang yang diperolehi ini bagi memastikan Terengganu yang akan datang lebih baik dari sudut pentadbiran. 

Harakahdaily/-

No comments: