Kuala Lumpur: UMNO merombak kepemimpinan negeri dengan membuat perubahan enam Pengerusi dan Timbalan Pengerusi untuk memperkukuhkan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.
Negeri berkenaan ialah Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor.
Pelantikan diumumkan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi, di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
UMNO Perlis yang sebelum ini diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu diganti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala Menteri Besarnya, Azlan Man dilantik Timbalan Pengerusi bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Shahidan.
Tukar jawatan
Pertukaran turut membabitkan Kedah apabila Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sebelum ini, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir saling bertukar jawatan.
Sementara itu, UMNO Selangor yang sebelum ini dipimpin oleh Najib, kini diterajui Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini Timbalan Pengerusi dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Abdul Shukor Idrus yang juga ADUN Kuang sebagai timbalannya.
UMNO Melaka pula kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Haron menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, manakala Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah dilantik timbalan menggantikan Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Perdana Menteri turut mengumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan yang sebelum ini disandang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Tertinggi yang juga Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Bagaimanapun, UMNO Johor hanya menyaksikan perubahan jawatan pengerusi apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman, manakala Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad kekal timbalan.
Pertukaran di Terengganu
Terengganu menyaksikan pertukaran bagi jawatan Timbalan Pengerusi apabila Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dipilih sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Ketua UMNO Marang, Datuk Yahya Khatib.
Pulau Pinang turut mendapat Timbalan Pengerusi baru apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya menggantikan Ketua UMNO Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Lima negeri iaitu Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah mengekalkan kepemimpinan bagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi perhubungan UMNO negeri:
- PerlisPengerusi: Datuk Seri Shahidan KassimTimbalan: Azlan Man
- KedahPengerusi: Datuk Mukhriz MahathirTimbalan: Datuk AhmadBashah Md Hanipah
- KelantanPengerusi: Datuk Seri Mustapa MohamedTimbalan: Datuk Dr Awang Adek Hussin
- TerengganuPengerusi: Datuk Seri Ahmad SaidTimbalan: Datuk Seri Idris Jusoh
- Pulau PinangPengerusi: Datuk Zainal Abidin OsmanTimbalan: Datuk Seri Dr Hilmi Yahya
- PerakPengerusi: Datuk Seri Dr Zambry Abdul KadirTimbalan: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
- PahangPengerusi: Datuk Seri Adnan YaakobTimbalan: Datuk Mohd Shakar Shamsudin
- SelangorPengerusi: Datuk Seri Noh OmarTimbalan: Abdul Shukor Idrus
- Wilayah PersekutuanPengerusi: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku MansorTimbalan: Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin
- Negeri SembilanPengerusi: Datuk Seri Mohamad HasanTimbalan: Datuk Shaziman Abu Mansor
- MelakaPengerusi: Datuk Wira Idris HaronTimbalan: Datuk Ahmad Hamzah
- JohorPengerusi: Datuk Seri Mohamed Khaled NordinTimbalan: Datuk Seri Dr Latiff Ahmad
- SabahPengerusi: Datuk Seri Musa AmanTimbalan: Datuk Seri Saleh Said Keruak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan