29 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Ustaz Ahmad Baei Jaafar
Niat masih dibincangkan oleh umat Islam meskipun sudah selalu diterangkan oleh tok-tok guru. Barangkali mereka belum pernah dengar, maklum sahaja tok guru itu bercakap di hadapan 100 orang, tetapi 1000 lagi yang tidak dengar. Jadi, persoalan itu terus ditimbulkan.
Sebenarnya, niat yang selalu dibincangkan ialah lafaz niat, sedangkan yang lebih penting ialah niat. Oleh sebab niat tidak dijelaskan dengan cara yang betul, maka timbul pelbagai tanggapan mengenainya.
Sepatutnya isu niat tidak sukar untuk difahami kerana niat adalah kerja hati, bukan lidah.
Contoh mudah, seseorang yang keluar rumah untuk sesuatu distinasi, tentu sewaktu melangkah keluar itu dia telah berniat untuk ke satu tujuan.
Bukan dia melangkah keluar mengikut gerak kaki, lalu penat berhenti, dan berjalan tanpa tujuan. Kalau dia keluar tanpa tujuan tentulah tiada niat khusus, maka kerjanya sia-sia.
Baiklah, jika dia berniat untuk pejabat sebagai contoh, adakah dia melafazkan sesuatu atau terus melangkah. Ya, kalau dia melafazkan dengan lidah untuk keluar ke pejabat, mungkin dia menyatakan demikian kepada isterinya atau temannya. Tetapi niat di dalam hatinya tidak siapa yang dengar. Allah sahaja yang mendengar malah Dia hanya mahu menerima niat hati hamba-Nya.
Dalam hal ini ulama menyediakan lazat niat adalah hanya sebagai panduan untuk kita berniat, bukanlah lafaz itu yang penting. Jadi, kalau kita baca lafaz niat itu belum lagi diterima, tetapi lafaz itulah yang perlu jelmakan dalam hati. Kalau begitu, niat bukanlah susah kerana tak perlu lafaz pada lidah, tak perlu disebut hingga mengganggu orang lain.
Sesuai dengan kedatangan Ramadan, saya contohkan di sini bagaimana kalau kita hendak berniat puasa Ramadan. Menurut Mazhab Syafi’i niat puasa Ramadan perlu dilakukan setiap hari pada malamnya sebelum terbit fajar. Lafaznya seperti yang tercatat dalam kitab ialah:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَهْرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Itu lafaz dalam bahasa Arab, lafaz dalam bahasa Melayunya ialah: Aku berniat puasa esok hari dalam bulan Ramadan kerana Allah Taala.
Jadi, niat puasa yang sebenarnya ialah gerak hati seperti yang dilafazkan itu. Tentu niat itu tidak sampai sesaat, bahkan sedetik sahaja.
Berdasarkan itu, kalau seseorang itu bangun untuk bersahur, secara tidak langsung dia sudah berniat untuk berpuasa. Hal ini kerana bersahur hanya berlaku untuk ibadah puasa. Lainlah kalau dia bangun untuk bersolat tahajud, dan dikesempatan itu dia terus bersahur, maka ketika bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.
Cuma kadang-kadang kita tidak sempat untuk bersahur kerana tak sedar. Untuk mengelak daripada terlupa atau tidak terbangun sahur, ulama mencadangkan kita menggunakan niat sebulan pada malam pertama. Pendapat ini bukan daripada Mazhab Syafi’i tetapi tidak salah kita meminjamnya untuk menyelamatkan keadaan. Lafaznya ialah
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Itu lafaz dalam bahasa Arabnya, dan lafaz dalam bahasa Melayu pula ialah, aku berniat puasa bulan Ramadan seluruhnya kerana Allah Taala.
Jadi, niat yang perlu dijelmakan dalam hati ialah seperti yang dilafazkan. Tidak perlu disebut dan dilafazkan oleh lidah. Mungkin dalam sekelip mata, niat itu sudah bertahta di hati kita. Dan niat ini hanya berlaku sekali pada malam pertama. Adapun pada malam-malam seterusnya niat harian masih diperlukan setiap malam. Dengan cara ini kalau mana-mana malah yang tidak sempat bersahur atau berniat, niat sebulan itu akan diambil kita.
Dengan penjelasan ini diharapkan umat Islam boleh menempuh puasa dengan baik lagi cemerlang. Maka di kesempatan ini saya mengucapkan selamat berpuasa dan melakukan segala ibadah bersangkutan dengan jayanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan