SAYA dan arwah kakak, Laliuma selalu berbual mengenai bintang dan alam. Kami bercakap mengenai bagaimana kapal terbang boleh terbang dan perasaan seorang juruterbang.


Selepas pulang dari sekolah, kami sering ke muara untuk melihat helikopter. Suatu hari, selepas pulang dari sekolah, saya dan kakak memberitahu ayah dan ibu tentang hasrat kami untuk menjadi juruterbang profesional.



Ibu terkejut kerana belum ada wanita di negara ini yang menjadi juruterbang. Selepas berjaya meyakinkan mereka akhirnya mereka mengalah dan ayahlah banyak membantu merealisasikan cita-cita kami,” kata juruterbang wanita pertama Afghanistan, Latifa Nabizada.

Persekolahan



Penglibatan awal wanita ini dalam dunia ketenteraan dilalui penuh liku apabila permohonan untuk memasuki Sekolah Tentera Afghanistan ditolak beberapa kali atas faktor kesihatan. Pada 1989, mereka menerima khabar gembira apabila permohonan diterima selepas disahkan sihat oleh doktor awam.



“Ketika itu tiada pakaian seragam wanita jadi kami terpaksa membuat sendiri seragam yang dirasakan sesuai dan menutup aurat,” katanya.



Pada hari pertama persekolahan, mereka dibaling batu kerana melanggar norma kehidupan sebagai wanita Afganistan.



“Pernah suatu hari kami terpaksa disuruh keluar dari bilik darjah kerana berlaku protes kalangan pelajar lelaki hingga mencetuskan pergaduhan,” katanya sambil tersenyum.



Berkat usaha gigih dua wanita ini, mereka akhirnya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akhir.




Penerbangan pertama



Penerbangan pertama merupakan pengalaman tidak dapat dilupakannya. Penerbangan solo di bandar utara Mazar-e-Sharip itu perlu diduduki bagi melengkapkan kertas peperiksaan akhir.



“Saya terbang! saya terbang! Hati saya melonjak kerana ini adalah saat paling dinanti selepas berusaha keras untuk bergelar juruterbang.



"Pelatih saya sentiasa berpesan untuk menumpukan fokus dalam penerbangan kerana kemunculan kami paling dinantikan oleh pelatih lain dan pegawai di pangkalan itu,” katanya.



Selepas sah menjadi juruterbang, Latifa dan Laliuma menerima layanan berbeza daripada juruterbang lelaki. Mereka hanya diarahkan melakukan penerbangan di zon terbang selamat kerana ketika itu tentera rejim diancam konflik dan pemberontakan.



Pada 1996, Latifa dan kakaknya terpaksa berpisah apabila beliau ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Kabul dan kakaknya kekal di Pangkalan Tentera Udara Mazar-e Sharif.



“Sepanjang malam saya tidak melelapkan mata. Sejak mula kami melangkah sebagai juruterbang, kami telah berjanji tidak akan berpisah,” katanya.



Mengimbau saat itu, Latifa berkata, sepanjang berada di Pangkalan Udara Mazae-e Sharif, Komander pangkalan, General Dostum banyak memerikan semangat kepada mereka.



“Beliau berkata, kami perlu keluar dari zon selesa. Kami perlu melihat dunia luar sekali gus menyokong perjuangan wanita yang selama ini dikongkong Taliban,” katanya.



Latifa berkata, beliau sampai di Kabul pada waktu malam dan tidak sabar memulakan tugasan baru pada keesokan harinya.



“Alangkah indah pemandangan Kabul dari udara. Saya kagum dengan kebesaran ALLAH. Namun jauh di sudut hati, saya rindukan kakak,” katanya.




Keluarga



Latifa dan Laliuma bertemu jodoh pada 2006. Laliuma dipindahkan ke Pangkalan Tentera Udara Kabul. Seminggu selepas berkahwin, mereka disahkan menggandung.



Namun berita gembira itu disembunyikan daripada pengetahuan ketua pangkalan kerana mereka masih mahu melakukan penerbangan.



“Kakak mengalami komplikasi ketika hamil, bayi dilahirkan tidak cukup bulan. Beliau diberi pilihan sama ada sama ada bayinya diselamatkan atau nyawa ibu terpaksa dikorbankan.



"Kakak akhirnya memilih untuk berkorban nyawa demi menyelamatkan bayinya,” katanya.



Keesokan harinya, Laliuma meninggal dunia. Selepas kematian kakaknya, Latifa menjaga bayi itu yang diberi nama Mariam.



Bayi comel itu dikendong bersama anaknya di dalam kandungan ke mana sahaja dia pergi. Baginya, Mariam adalah sebahagian daripada hidupnya yang menggantikan pemergian kakaknya.



Sepanjang misi di Afghanistan, pelbagai cabaran dilalui termasuk bertempur dengan musuh.



“Ramai pegawai memberitahu, saya merupakan wanita cekal dan berani sungguhpun sedang berbadan dua,” katanya.



Cabaran sukar dilalui Latifah adalah membesarkan Mariam yang masih bayi. Latifa terpaksa menyusukan Mariam dan pada masa sama beliau sarat mengandung.



Selepas melahirkan bayi sulung bernama Malalai. Latifa sekali lagi menghadapi kesukaran untuk menjaga kedua-dua anak itu. Ketika itu, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak belum ada di negara berkenaan.



Mariam terpaksa diserahkan kepada keluarganya di kampung manakala Malalai terpaksa dijaga sendiri kerana masih menyusu badan.



“Di pangkalan tentera tak ada tempat penjagaan anak. Jadi saya terpaksa membawa Malalai sepanjang berada di pangkalan. Saya membawanya menaiki helikopter pada usia dua bulan. Beliau membesar dalam helikopter dan kadang-kadang saya berasa dia bukan anak saya, tetapi anak perempuan helikopter!” katanya.




Ikut jejak langkah



Latifa berkata, sepanjang Malalai membesar, bayi itu tidak memberikan masalah kerana kerap tidur. Melangkah usia empat tahun dia membesar seperti kanak-kanak lain.



“Di dalam pesawat, dia akan duduk di sebelah saya. Apabila mengantuk dia akan terlelap dan meletakkan kepalanya di bahu saya. Sehinggalah pada suatu hari penasihat pangkalan tidak membenarkan Malalai duduk di sisi saya kerana ancaman bahaya. Ketika itu, Malalai menangis sehingga demam,” katanya.  



Kini, pangkalan Udara Kabul mempunyai tadika dan Malalai di tempatkan di tadika itu sepanjang hari. Kehidupan Malalai amat berbeza dengan kanak-kanak lain.



Kanak-kanak itu jarang menyebut nama ayahnya sebaliknya menjadikan Latifah sebagai nama pengganti ayahnya.



“Saya anak perempuan Pilot Latifa”, itulah yang sering dijawab setiap kali namanya ditanya.



Latifah berkata, perjalanan hidupnya kini menjadi lebih mudah selepas Malalai membesar.



“Saya amat berterima kasih kepada bapa. Kini saya menjadi seorang ibu saya sedar kesukaran ibu bapa menghadapi kerenah anak sepanjang mereka membesar. Saya berharap, Malalai akan mengikuti jejak langkah saya untuk bergelar juruterbang untuk Afghnistan pada masa hadapan,” katanya.


sinar/-