09 Ogos 2013

7 rumah setinggan di Sentul Pasar hangus terbakar

2 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul Pasar di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad, berkata kedudukan rumah yang sesak dan terletak berdekatan antara satu sama lain menyebabkan banyak rumah musnah kerana api marak dengan pantas. 



"Kami masih belum boleh nyatakan jumlah sebenar rumah yang terbakar 
kerana kami sedang mengumpul pemilik rumah berkenaan kerana kebanyakannya 
bercuti raya di kampung masing-masing. 

"Yang menjadi masalah utama adalah sumber air yang agak jauh, kita terpaksa 
menggunakan 'tanker' untuk mengangkut air ke mari," katanya ketika ditemui di 
lokasi kejadian malam tadi. 
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam, dan 
anggota serta jentera bomba tiba 14 minit kemudian serta dapat mengawal 
kebakaran dalam tempoh 40 minit. 


"Kami telah menghantar lima jentera iaitu Balai Bomba Sentul, Balai Bomba 
Hang Tuah, Balai Bomba Setiawangsa, Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba 
Sri Hartamas," katanya. 

Katanya, semua mangsa yang terbabit selamat dan tiada kecederaan 
dilapor berlaku dalam kejadian. 

"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya. 

Sementara itu, Endra Yusman, 30, bersyukur kedua ibu bapanya tiada di rumah 
ketika kejadian kerana pulang beraya di kampung di Bandar Baru Kedah. 

"Sudah hampir 50 tahun ibu bapa saya tinggal di sini," katanya ketika 
ditemui dilokasi kejadian. 

Pasangan suami isteri Roslan Mun, 41, dan Normiza Halim, 31 turut bersyukur 
kerana sempat menyelamatkan diri. 

"Ketika kejadian saya bersama kira-kira 20 anggota keluarga sedang menonton 
televisyen di ruang tamu apabila terdengar suara jiran menjerit ada api. Saya
dan anggota keluarga segera mengambil anak-anak masing-masing dan barangan 
berharga serta bergegas keluar rumah," kata Normiza. 

- BERNAMA

Tiada ulasan: