29 August 2013

Jom sertai XPDC dakwah ambang Merdeka 2013

22 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,28 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Bagi menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan XPDC Dakwah yang akan diadakan di kesemua lokasi sambutan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 



“Dewan Pemuda PAS negeri-negeri bersama DPP kawasan-kawasan diamanahkan untuk menjayakan XPDC tahun ini,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam kenyataan kepada Harakahdaily.



Katanya, XPDC Dakwah telah dijayakan setiap tahun, bermula tahun 2000 sebagai acara tahunan DPPM dengan melibatkan pimpinan setiap peringkat. 



Tambahnya, tujuan utamanya sebagai suatu kesinambungan kerja-kerja dakwah kerana mereka perlu dibimbing, dipandu dan dipimpin agar tidak hanyut dalam kehidupan. 



Selain itu, jelas beliau ia adalah peluang terbaik Pemuda PAS bertemu dengan golongan belia agar kehadiran Pemuda PAS di tengah masyarakat dirasai. 



Katanya, golongan belia perlu difahamkan mengenai makna kemerdekaan sebenar di samping isu-isu global yang membelenggu masyarakat supaya mereka prihatin terhadap nasib yang menimpa umat sejagat.



Menurutnya, antara aktiviti utama yang akan diadakan pada malam tersebut adalah edaran risalah, bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak muda selain memperkenalkan pemimpin Pemuda PAS. 



“Program ini akan bermula pada jam 10.00 malam dengan taklimat dan amanat pimpinan selain pembahagian kumpulan,” jelasnya. 



Katanya, setiap kumpulan pula akan dipecahkan bagi mencapai sasaran bertemu seramai mungkin golongan belia di lokasi tertentu. 



Justeru, ujar Khairul Faizi DPPM mengajak semua lapisan masyarakat termasuk parti-parti politik, NGO, badan dakwah, mahasiswa untuk bersama dalam XPDC Dakwah itu. 



“Kesemua entiti yang akan bersama nanti digalakkan membawa kain sepanduk, bahan cetakan dan lain-lain sebagai bahan edaran kepada masyarakat untuk dikongsikan bersama peserta XPDC Dakwah tersebut,” ujarnya.

No comments: