19 August 2013

Kediaman pengikut Mursi digeledah

12 Syawal 1434 H. [MOD] -

Beribu-ribu pengikut Ikhwanul Muslimin berarak ke Dataran Ramses dalam satu perhimpunan besar-besaran menentang kerajaan sementara Mesir di Kaherah, kelmarin. - REUTERS

KAHERAH 18 Ogos - Pihak berkuasa Mesir hari ini menggeledah kediaman beberapa pengikut bekas Presiden, Mohammed Mursi menjelang satu perhimpunan besar-besaran oleh anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dijadual berlangsung.

Menurut kenyataan pegawai keselamatan, serbuan di beberapa bandar pada waktu pagi itu dilakukan bagi menyekat usaha demonstrasi dilakukan.

Demonstrasi antirampasan kuasa yang dijangka berlangsung di hadapan Mahkamah Agung Perlembagaan di selatan Kaherah itu bagaimanapun dibatalkan atas sebab keselamatan selepas pengikut Ikhwanul Muslimin mendakwa terdapat penembak tepat ditempatkan di bumbung-bumbung bangunan laluan mereka dijangka berarak.

Terdahulu, pihak berkuasa dilapor menempatkan kereta-kereta perisai serta anggota tentera di bumbung-bumbung bangunan berdekatan mahkamah tersebut.

Demonstrasi baharu bertujuan menyatakan bantahan berikutan ketegangan yang tercetus di antara pasukan keselamatan Mesir dengan penunjuk perasaan di Masjid al-Fatah di sini, semalam.

Kejadian berbalas tembakan dilaporkan berlaku di antara pasukan keselamatan dan penyokong Mursi di masjid itu, lokasi kira-kira 1,000 pengikut Ikhwanul Muslimin dikepung kelmarin oleh pasukan keselamatan.

Kempen tunjuk perasaan yang berlaku setiap hari di Mesir diadakan untuk membantah tindakan kekerasan pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan pro-Mursi yang mengorbankan beribu-ribu orang pada Rabu lalu. - AGENSI

No comments: