19 Ogos 2013

Institut Pemikiran Tok Guru kini beroperasi

12 Syawal 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU:Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) kini beroperasi di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri, Kota Darulnaim.

IPTG menggalas objektif menjadi sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

Pengarahnya, Dr Che Samsudin Mohamed Noor (gambar) berkata, di samping itu IPTG berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.

“IPTG merangka tiga komponen iaitu aktiviti keilmuan, perpustakaan dan pusat sumber serta pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) pentadbiran negeri,” katanya di sini.

Idea penubuhan IPTG dicetus Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ketua kerajaan negeri.

Menurutnya pemikiran dan legasi yang berharga yang ada pada Mursyidul Am PAS perlu terus disuntik dalam jentera kerajaan negeri.

IPTG dipengerusikan Menteri Besar, manakala Tok Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai penasihat atau murabbi ummah.

Dr Che Samsudin berkata, konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan hanya penyampai ilmu atau mu`allim, namun dalam masa sama memastikan masyarakat menghayati dan mengamalkan ilmu dipelajari.

Murabbi ummah bermaksud menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat ummah. 

Katanya, aktiviti keilmuan IPTG merangkumi kuliah dan kursus kepada anggota perkhidmatan awam negeri, seminar, forum  dan wacana akademik.

Komponen perpustakaan pula akan menyediakan koleksi buku, kajian ilmiah, tesis dan sebarang penulisan mengenai Tok Guru.

Ia juga mengandungi pusat sumber yang berfungsi sebagai bilik audio-visual  kepada pengunjung serta sumber rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membuat kajian.

Manakala pusat penyelidikan IPTG menyediakan kemudahan aktiviti penyelidikan dan pengembangan, mengkaji input dan mengeluarkan output bagi pentadbiran negeri, serta unit perisian data dan statistik.

“Selaku murabbi ummah Tok Guru akan sentiasa menasihati pergerakan IPTG supaya berjalan di atas acuan fikrah yang diasaskannya, di samping mencetuskan idea-idea baru,” ujarnya.

Kata beliau fikrah Tok Guru perlu dimanfaatkan untuk kepentingan ummah.

Menurutnya juga Tok Guru berpeluang melengkap dan merealisasikan idea serta perancangan baru sebagai kesinambungan 23 tahun ketika mengetuai kerajaan negeri
.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: