19 Ogos 2013

Kepungan di Masjid al-Fatah berakhir

12 Syawal 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 18 Ogos - Pasukan keselamatan Mesir semalam mengosongkan Masjid al-Fatah daripada penunjuk perasaan Ikhwanul Muslimin selepas tercetusnya pertempuran antara kedua-dua pihak, termasuk insiden berbalas tembakan.

Anggota pasukan keselamatan bertindak mengheret keluar pengikut penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi dari masjid berhampiran Dataran Ramses di Kaherah itu dan memanggil mereka 'pengganas'.
Ketegangan di masjid tersebut bermula kelmarin selepas pihak berkuasa bertindak mengepungnya ketika beribu-ribu pengikut Ikhwanul Muslimin berlindung di dalamnya.

Masjid itu turut dijadikan sebagai tempat mengumpulkan berpuluh-puluh jenazah penunjuk perasaan yang terkorban.

Situasi bagaimanapun bertukar menjadi tegang dengan berlaku insiden berbalas tembakan dan pasukan keselamatan akhirnya bertindak menyerbu dan mengheret penyokong Mursi keluar.

Dalam pada itu, pendakwa raya Mesir akan mendakwa kira-kira 250 penyokong Mursi yang ditahan di masjid berkenaan semalam, atas dakwaan membunuh dan keganasan. - AFP/AGENSI



Tiada ulasan: