02 Ogos 2013

PAS tuntut penjelasan

24 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR: PAS menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung surat pekeliling yang memaklumkan berlakunya kenaikan harga gas memasak berkuatkuasa hari ini.
Surat pekeliling tersebut kini diedarkan melalui laman Facebook dan ditujukan kepada pemborong, penjual dan pelanggan gas Petronas turut memberitahu alasan mengapa kenaikan itu berlaku.

Jika benar kenaikan gas memasak berlaku berdasarkan pekeliling itu, Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ianya sangat tidak wajar dalam suasana pengguna yang cukup tertekan dengan pelbagai kenaikan harga barang mutakhir ini.

Apatah lagi katanya, alasan kenaikan gas kerana selaras dengan gaji minimum RM900 untuk setiap pekerja swasta sepertimana  yang tercatat di pekeliling itu adalah sangat tidak munasabah.

"Alasan tidak munasabah, macam mana dengan orang yang bekerja di kampung dan bekerja sendiri, mereka tidak ada kenaikan gaji minimum. Saya fikir satu tindakan yang tidak wajar," katanya kepada Harakahdaily.

Kenaikan ini juga katanya, akan memberi kesan kepada pengguna khususnya musim perayaan sekali gus membuatkan beban pengguna semakin membesar.

Justeru, beliau meminta kerajaan melalui  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan dan pihak Petronas untuk memastikan tarik balik pekeliling tersebut dan kembalikan kepada harga asal.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terimalah padahnya akibat mengundi UMNO!! Biarkan siluncai dengan labu-labunya!!Biarkan!Biarkan!