02 August 2013

Peniaga emas cedera ditembak di Pandan Indah

24 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

  • Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaan beliau berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, di ibu negara hari ini.

  • Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada pukul 8.45 pagi.

    "Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu," katanya kepada Bernama di ibu negara hari ini.

    Beliau berkata dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.

    Amiruddin berkata Wong, yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilapor stabil.

    Kes tembak hari ini adalah yang keempat dalam tempoh lima hari minggu ini.

    Isnin lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

    Pada 29 Julai juga seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam di sini.

    Rabu lepas pula, pemandu van kilang N Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak.

    -Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Semakin hancur negara kita ini dipimpin oleh puak-puak hipokrit yg tidak ikhlas untuk memerintah...yg mereka tahu ialah macam mana nak memperkayakan diri sendiri, keluarga dan kroni..!!Orang2 melayu terus diperbodohkan dng janji-janji kosong maka melayu terus percaya dan rela dengan apa saja yg berlaku di negara ini asalkan orang melayu memerintah dan buakannya cina!!..walaupun terang2 UMNO ini bersifat munafik!!!