10 September 2013

Hilang 4 orang tersayang.

4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Kajang: “Dunia gelap seketika saat berita malang itu dikhabarkan... ia saat paling hiba dalam hidup saya,” kata Muhammad Tauffid Kassim, 44, yang kehilangan isteri dan tiga anaknya serentak dalam kemalangan di Kajang, semalam.

Ketika dimaklumkan mengenai nahas kira-kira jam 11 pagi itu yang mengorbankan isterinya, Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anak mereka, perkara pertama terlintas dalam fikiran Tauffid ialah nasib empat lagi anak mereka yang masih kecil.
Tiga anaknya yang maut dalam nahas pada jam 11.50 pagi di KM 8 Jalan Kajang-Banting itu ialah Nur Nabila Al-Huda, 9; Nur Nabila Al-Hanan, 7; Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, 1, manakala seorang lagi, Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dihantar ke Hospital Kajang.
“Saya hilang empat nadi sekali gus,” kata guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB) itu dalam nada hiba sambil memaklumkan, empat anaknya yang masih hidup berusia antara tiga hingga 10 tahun, termasuk Nabil Lutfan.
Bertembung lori
Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta PERODUA Kancil dipandu Rohaya, yang juga guru agama di SKBBB dalam perjalanan dari arah Bangi ke Kajang untuk menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Teras Jernang sebelum dikatakan terbabas dan bertembung sebuah lori dua tan dari arah bertentangan.
Dua anak mereka yang maut, juga bersekolah di SKBBB.
Tauffid berkata, dia sedang mengajar di sekolah ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus lesu sehingga terpaksa dipapah ke lokasi nahas.
“Isteri mengajar sesi petang, saya pula sesi pagi. Biasanya jam 12 tengah hari dua anak yang kecil dihantar ke rumah pengasuh,” katanya sambil menambah, jenazah empat beranak itu dibawa ke Kuala Nerang Kedah, malam tadi untuk disemadikan.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Abdullah Ramli, berkata ketika pasukannya tiba di lokasi, tiga daripada anak mangsa yang duduk di kerusi penumpang belakang sudah dikeluarkan orang ramai dengan seorang cedera dan dihantar ke Hospital Kajang.
Kereta remuk
“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan dua lagi mangsa, iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di kerusi depan. Keadaan kereta yang remuk teruk menyebabkan dua mangsa berkenaan sukar dikeluarkan kerana tersepit dengan bahagian depan lori,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah van yang melanggar belakang lori berkenaan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius.

BH/-

Tiada ulasan: