10 September 2013

PAS sanggah pandangan Fathul Bari

4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan hadis yang disandar Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari berhubung barang naik, 'diguna pada konteks yang salah'.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, islam menitikberatkan konsep adil kepada semua pihak bukan sahaja kepada peniaga tetapi juga kepada pembeli.

Menurutnya, adalah tidak wajar mengajak rakyat menerima kenaikan harga barangan sebagai takdir sedangkan pada masa yang sama ada pemimpin negara, ahli korporat dan syarikat kroni terus-menerus mengambil kesempatan untuk hidup bermewah.

“Memang hakikat naik turun, ajal maut semua ketentuan Allah tetapi bukan bermakna pemerintah boleh sesuka hati meletakkan kesalahan kepada takdir.

“Demikian juga kalau kita tengok kerajaan memotong subsidi untuk rakyat tetapi dalam waktu sama golongan korporat dan bangsawan lihat hidup melampau-lampau mewah,” katanya dipetik TV Selangor.

Sehubungan itu, beliau memintak ulamak muda Umno itu memperbetul semula kenyataannya bagi mengelak salah faham kepada masyarakat.

Kenyataan Fathul Bari itu juga katanya berbahaya kerana boleh memberi gambaran bahawa peniaga boleh bebas menaikkan harga barangan mereka, dan pengguna harus menerimanya sebagai takdir.

Tiada ulasan: