10 September 2013

Kontraktor: Pemaju pasti naik harga rumah

4 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

  • Seorang pemimpin persatuan kontraktor bumiputera berkata para pemaju pasti akan menaikkan harga rumah untuk mengelakkan kerugian apabila harga bahan api meningkat.
    Yang dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Mahmood Amir dalam satu laporan Sinar Harian berkata para kontraktor juga akan melakukan penyesuaian dengan mengurangkan saiz rumah, bagi mengelak kerugian.


    “Kalau kita tidak naikkan harga, kontraktor terpaksa kurangkan saiz rumah untuk seimbangkan kos dan keuntungan mereka, jika tidak mereka akan rugi,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

    Beliau juga menjangkakan bahawa pengguna dan pemilik rumah akan menanggung ansuran bulanan pinjaman yang tinggi dalam jangka masa panjang.

    “Dalam tempoh satu atau dua tahun ini kenaikan harga rumah tidak akan menjejaskan pasaran perumahan kerana trend permintaan ketika ini sangat tinggi.

    “Namun masalah akan mula timbul selepas tiga tahun kemudian apabila pembeli rumah terpaksa menanggung ansuran bulanan rumah yang tinggi,” katanya dalam laporan itu.

    Katanya, permintaan untuk hartanah pada masa ini menunjukkan trend meningkat dan menjangkakan bahawa pasaran perumahan dan hartanah terus rancak dalam tempoh terdekat.

    Mahmood juga berpendapat bahawa kerajaan akan dapat menampung jumlah subsidi dan mengelak kenaikan harga bahan api dengan menangani rasuah dan mengawal perbelanjaan.

    Beliau berkata demikian susulan kenyataan menteri hal ehwal perumahan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada Ahad lalu, yang membidas jangkaan persatuan pemaju bahawa kenaikan harga minyak menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

    Abdul Rahman berkata, jangkaan kenaikan sehingga 10 peratus itu akan membimbangkan rakyat kerajaan kerajaan hanya menjangka bahawa peningkatan itu hanya pada paras lima peratus.

    Abdul Rahman mengulas kenyataan presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy dalam laporan pada Khamis, yang turut mengaitkan kenaikan harga rumah tersebut dengan operasi kerajaan ke atas golongan pendatang tanpa izin.

Malaysiakini.

Tiada ulasan: