21 September 2013

Ibu tunggal tiga anak maut

14 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Seorang jurujual kosmetik yang juga ibu tunggal kepada tiga orang anak maut dalam satu kemalangan di Kilometer 153.7, Jalan Jerangau Jabur berhampiran Balai Pemeriksaan Hutan Cheneh Baru, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Asbalela Kamarudin, 34, berasal dari Bachok, Kelantan, maut apabila kereta Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori treler membawa muatan bijih besi yang diletakkan di bahu jalan.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya, Normasliza Makhtar, 33, berasal dari Kota Baru, Kelantan dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang cedera parah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Menurut majikannya yang enggan dikenali, kali terakhir dia berjumpa mangsa pada Ahad lalu tetapi sempat menghubungi mangsa 30 minit sebelum kejadian.

"Ketika itu mangsa memaklumkan dia berada di Air Putih dekat sini, namun tidak lama selepas itu saya terima panggilan orang awam mengatakan mangsa terlibat dengan kemalangan," jelasnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru yang datang ke lokasi kejadian mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Utusan malaysia



Tiada ulasan: