21 September 2013

Mukhriz dapat restu ibubapa tanding naib presiden

14 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau mendapat restu ibu dan bapanya untuk menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.

    
"Saya dah jumpa mereka (ibu dan bapa). Tun (Dr Mahathir) serah pada saya untuk buat keputusan namun dia ada beri pandangannya berdasarkan pengalaman dia yang pernah bertanding naib presiden.
    
"Bagaimanapun kali ini bezanya ada 146,500 perwakilan yang akan pilih. Tidak ada lagi sistem pencalonan. Ada banyak perbezaan pengalaman beliau (Tun Dr Mahathir) dengan keadaan sekarang," katanya.



Mukhriz yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah ditemui selepas majlis memperkenalkan calon-calon Umno Jerlun yang menawarkan diri bertanding jawatan peringkat bahagian itu di Wisma Umno Jerlun, 30km dari sini hari ini. 
    
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyatakan hasrat mempertahankan jawatan naib presiden.
    
Selain Mukhriz, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sri Mohd Ali Rustam dan pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad juga menawarkan diri bertanding jawatan itu.
    
Mengenai peluangnya, Mukhriz berkata ditakdirkan beliau menang, dua lagi pemenang mungkin dari kalangan menteri kabinet atau tidak, mereka tetap ada kelebihan untuk memberi kekuatan kepada parti.
    
"Pengalaman memahami masalah rakyat di peringkat akar umbi, bukan soal polisi dan menggubal dasar tetapi tanggungjawab selesai masalah kemiskinan rakyat, pekerjaan dan membangunkan satu negeri bergantung pada keupayaan kewangan, modal insan dan bermacam aspek yang perlu diambil kira.
    
"Dalam soal ini, pengalaman saya sebagai Menteri Besar walaupun baru empat bulan sangat diperlukan di peringkat pusat. Saya yakin dapat sumbang pendapat dan pengalaman sebab dah lalui banyak situasi serta perlu buat keputusan segera," katanya.
    
- Bernama

Tiada ulasan: