Di tengah-tengah kontroversi perbelanjaan RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk konsert K-Pop tahun lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang tampil menjelaskan perbelanjaan itu sememangnya ditanggung oleh kerajaan.

Tegasnya sewaktu kerja-kerja audit dibuat, Jabatan Audit Negara mendapati sejumlah wang dibelanjakan bagi membiayai beberapa aktiviti berkaitan sambutan Hari Belia Negara 2012 yang dianggap tidak berhemat, termasuklah konsert K-Pop tersebut.

"Perbelanjaan ini dibuat menerusi peruntukan kerajaan yang disalurkan menerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) dan ia tidak pernah dipertikaikan mana-mana pegawai kementerian atau MBM sewaktu perbincangan dengan mereka ketika audit dijalankan.

"Kerana itulah isu ini dibangkitkan dalam laporan audit," katanya dalam satu maklum balas emel kepada media.

Kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan bekas menteri belia dan sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Shabery sebelum ini mendakwa bayaran dibuat menggunakan duit penaja yang dimasukkan ke dalam akaun Majlis Sukan Negara, dan bukannya menggunakan duit pembayar cukai.

malaysiakini.com