09 October 2013

Rizab besi di Sungai Tuang 2 bilion tan


4 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Kelantan mempunyai rizab besi mentah di Sungai Tuang dianggar sebanyak 50 juta sehingga dua bilion tan, kata Adun Salor, Datuk Husam Musa.


Beliau berkata, kekayaan sumber itu boleh dimanfaat syarikat dari Korea yang dilantik sebelum ini untuk membina lebuh raya rakyat.



Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbang secara saksama kemampuan syarikat terbabit melaksanakan projek pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai.



“Kerajaan juga perlu mempunyai kaedah cadangan pembayaran balik projek berkenaan secara jelas. 



“Kerajaan tidak seharusnya dengan mudah memutuskan hubungan dengan kontraktor berkenaan yang dikira berkebolehan dan telah dipilih lebih awal,” katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2014 pada persidangan Dun semalam.



Menurut beliau sekiranya kerajaan negeri menerima pakai cadangan tersebut dan berdasar kepada harga minimum ketika itu iaitu RM50 satu tan, ia dianggar mampu menjanakan hasil sehingga RM2.5 bilion.



Husam sebelum ini penggerak utama projek lebuh raya rakyat. Projek sejauh 68 km itu dilakukan pecah tanah pada 28 Mei 2012, dirancang dibina empat lorong dua hala tanpa tol dengan anggaran kos RM1.8 bilion.



Bagaimanapun syarikat Korea terbabit dikatakan menarik diri sehingga kerajaan negeri menawar pula kepada syarikat lain termasuk dari Emeriah Arab Bersatu yang berminat meneruskan projek berkenaan.  



Husam juga memberitahu syarikat dari Korea terbabit mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan mampu meletak deposit sebanyak RM5 juta untuk bayaran lesen eksplorasi dan RM5 juta lagi lesen carigali.



Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan negeri melantik konsultan antarabangsa untuk menilai anggaran hasil sebenar kawasan bijih besi tersebut. 



Menurutnya juga permohonan lebih awal dibuat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi mengusaha lombong besi di Sungai Tuang dengan mengajukan permohonan di Pejabat Tanah dan Galian pada November 2011.



“Bagaimanapun permohonan pihak lain pula masuk sehingga menenggelamkan permohonan asal PMBK,” ujarnya. 



Beliau juga memberitahu Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Mac 2013 bersetuju menyerah kawasan seluas 3,000 hektar di Sungai Tuang kepada PMBK.



“Malangnya saya difahamkan kelulusan itu telah ditarik balik selepas itu, sedangkan tender terbuka dibuat pada November 2012,” ujarnya.



Husam juga berharap kerajaan negeri tidak melepaskan kawasan berharga tersebut kepada pihak swasta dan persendirian.
harakahdaily.net

No comments: