09 Oktober 2013

Kerajaan Turki mansuh larangan bertudung

4 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


ANKARA: Turki memansuhkan larangan ke atas wanita memakai tudung di kawasan bangunan kerajaan semalam, antara langkah pembaharuan bertujuan memperkuat demokrasi.

Larangan itu sudah wujud lebih 90 tahun lalu sejak pembentukan Republik Turki. Ia menyebabkan ramai wanita Turki tidak menyertai perkhidmatan kerajaan. 

“Satu peraturan yang secara rasmi campur tangan ke atas kebebasan berpakaian dan gaya hidup hingga menjadi punca ketidaksamaan taraf, diskriminasi dan ketidakadilan terhadap rakyat, sudah menjadi sejarah," kata Timbalan Perdana Menteri, Bekir Bozdag di Twitter. 


Bagaimanapun, golongan sekular masih percaya pemansuhan itu adalah bukti kerajaan masih meneruskan agenda agama.

Peraturan itu tidak membabitkan badan kehakiman dan tentera disiarkan oleh Pekeliling Rasmi dan berkuatkuasa serta- merta.

Cara kikis sekular

Perdebatan mengenai pemakaian tudung adalah punca utama ketegangan antara golongan agama dan sekular serta menjadi isu di kalangan penduduk. 
Pengkritik terhadap Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan melihat Parti AK pimpinannya sebagai cuba mengikis asas sekular republik itu selepas era pemerintahan Uthmaniyah oleh Mustafa Kemal Ataturk pada 1923.

Bagi penyokong Erdogan, beliau hanya memulihkan kesimbangan dan kebebasan meluahkan soal agama kepada penduduk.

Pemansuhan larangan itu adalah berasaskan kepada perintah Kabinet pada 1925 apabila Ataturk memperkenal beberapa pembaharuan bertujuan menamatkan cara berpakaian menunjukkan simbol agama di kalangan pekerja kerajaan.

Ia disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha pendemokrasian oleh Erdogan sejak minggu lalu. 

REUTERS

Tiada ulasan: