13 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang semalam memutuskan pertemua tersebut adalah penting bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan itu dapat dihentikan dan tidak lagi berulang pada masa akan datang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pertemuan tersebut akan membincangkan segala tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang terlibat serta mencari satu mekanisma terbaik agar ia dapat diatasi daripada terus berulang.
"Apabila melihat laporan tersebut jelas menunjukkan pengurusan kewangan yang cukup lemah dalam pentadbiran agensi kerajaan.
"Perkara ini sentiasa berulang setiap tahun dan tidak ada satu pun tindakan diambil, atas kerisauan tersebut pada mesyuarat sebentar tadi kita telah mengulangi untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mekanisma yang perlu diambil," jelasnya pada sidang media di ibupejabat PKR, petang semalam.
Katanya lagi, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung dengan dialog tersebut dalam masa terdekat.
Jelas beliau, dialog itu merupakan satu langkah terbaik dalam memastikan wang rakyat tidak disalahguna serta diselewengan oleh pihak tertentu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu hasrat Pakatan Rakyat untuk bertemu Perdana Menteri adalah bagi membincangkan langkah terbaik bagi menangani pembaziran serta penyelewengan yang berlaku.
Katanya, pertemua dua hala itu pasti dapat memperolehi satu keputusan yang terbaik dalam menghentikan perkara yang sama tidak berulang.
Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri mengambil tindakan tegas setiap apa yang dilaporkan dalam laporan tersebut.
Katanya, sikap berdiam diri Najib akan menyebabkan mereka yang bertanggungjawab di dalam agensi kerajaan tidak takut untuk mengulangi penyelewangan tersebut.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan