18 Oktober 2013

Pakatan Rakyat bentang Belanjawan minggu depan


13 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan membentangkan Belanjawan Alternatif 2014 minggu hadapan sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober nanti.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang tadi.



"Sama ada 20 atau 21 Oktober belum kita pastikan kerana Pakatan Rakyat mempunyai program di Sungai Limau pada 21 Oktober mengenai pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau," jelasnya.



Katanya, Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat akan menekankan tentang defisit negara kepada tiga peratus pada 2014.



Tambahnya, Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat akan menekankan tentang defisit negara yang semakin merunsingkan di mana PR telah menetapkan kadar defisit negara sebanyak tiga peratus pada 2014.



Tangguh PLKN



Dalam pada itu, Pakatan Rakyat juga turut mencadangkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ditangguhkan pada tahun hadapan.



Ini berikutan terdapat 22 kematian telah berlaku sejak ia dilancarkan.



"Kita menggesa agar kerajaan menangguhkan PLKN pada tahun hadapan bagi memperbaiki matlamat asal program tersebut.



"Kajian ini penting apabila kita melihat sehingga sekarang terdapat 22 kematian pelatihnya sejak is dilaksanakan," jelasnya.



Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi program tersebut untuk tahun lepas.



"PLKN telah menelan peruntukan ratusan juta ringgit, kajian keberkesanan perlu dikaji semula dan kita mahu matlamat tercapai bukannya masalah di sebalik program tersebut sehingga mengakibat kematian,” katanya.



Pakatan yang turut mencadangkan supaya Parlimen membentuk satu Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi membincangkan sama ada program PLKN itu dapat diteruskan ataupun membatalkannya.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: