18 Oktober 2013

1,001 rahsia air

13 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia. Kepentingan air sama seperti oksigen.
Air adalah elemen penting demi kelangsungan hidup manusia, jika tidak minum air selama seminggu, manusia boleh mengalami kegagalan serius organ dalaman dan menyebabkan kematian. 
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat menceritakan kepentingan air untuk manusia dan segala kehidupan di muka bumi. 


Sejak kecil lagi kita didedahkan dengan kegunaan air sebagai penawar untuk segala jenis penyakit. Sehingga sekarang, kita dapati ada yang membawa air ke masjid setiap malam Jumaat untuk mendapatkan keberkatan bacaan Yasin secara berjemaah.

Apabila demam, ada berjumpa alim ulama untuk mendapatkan air penawar. Malah, sebelum bersalin, ibu digalakkan meminum air selusuh yang didoakan agar memudahkan proses kelahiran.

Allah berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 30: “Dan Kami ciptakan dari air segala sesuatu yang hidup.” 


Air membentuk 55 hingga 57 peratus berat badan kita dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama tubuh. 



Pengambilan air dalam jumlah mencukupi amat penting untuk tubuh menjalankan fungsi dengan sempurna. Air mustahak untuk melarutkan sisa metabolisma seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke ginjal. 



Oleh kerana itu, air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada tubuh. Kekurangannya akan menyebabkan ginjal bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkan kerosakan ginjal. 



Selain itu, lebih 70 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Jika air di dalam tubuh bersih dan suci, sel tubuh lebih sihat dan kuat. 



Pengambilan air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisma sel dan mengurangkan risiko sel badan menjadi tidak normal dan tidak sihat. 



Kita sedar air memainkan peranan penting dalam badan manusia dan bukan sekadar untuk memuaskan dahaga tekak. 



Tetapi tidak ramai yang mengkaji dari sudut saintifik dan keagamaan kenapa air digunakan sebagai penawar dalam kehidupan kita. 



Allah menceritakan perihal penggunaan ayat tertentu sebagai ubat penawar manusia. 



Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 82: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya”. 



Dalam surah Fussilat ayat 44: “Katakan, al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”. 



Menurut Kitab Mukhtasar Fi Ma’ni Isma’Allah Al Husni, diriwayatkan bahawa Abi Al-Qaasim Al-Qusyairi pernah menghadapi kesusahan sebab anaknya sakit tenat. 
Keadaan ini sangat mencemaskannya sehingga pada suatu malam beliau bermimpi berjumpa Rasulullah SAW lalu dia mengadukan hal itu. 



Rasulullah bertanya : “Tidakkah engkau mempergunakan ayat-ayat asy-Syifaa?” Al-Qusyairi pun lalu tersedar dan dicarinya ayat-ayat itu dalam al-Quran. Lalu Al-Qusyairi pun menuliskan ayat-ayat itu pada kertas dan dibasuhnya dengan air lalu diberi minum kepada anaknya. Maka sembuhlah penyakit anaknya dengan serta-merta hasil dari mukjizat al-Quran. 



Dari sudut saintifik pula, kajian saintis Eropah dan Jepun mendapati air satu elemen yang hidup. Ini kerana ia mampu merakam gema, perasaan serta bacaan yang dibuat terhadapnya. 



Ini dibuktikan interaksinya dengan keadaan luaran. Apabila dibacakan sesuatu yang baik, sebagai contoh ayat al-Quran, molekul air bertukar kepada bentuk kristal yang bersinar serta bercahaya. 



Begitu juga sebaliknya apabila dibacakan yang tidak baik. 



Kini, kita lebih memahami kenapa air digunakan sejak turun-temurun sama ada untuk mencapai sesuatu kebaikan ataupun kejahatan. 



Keistimewaan air yang ditenagakan dengan ayat al-Quran bukan saja pada zat galian tetapi adab sepanjang pemprosesan air yang didoakan di pusat perubatan Islam. 



Allah berfirman, “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari Tuhanmu (iaitu Quran) dan penyembuh bagi penyakit dalam dada.” (surah Yunus:57). 



Percayalah apabila air dibacakan ayat al-Quran, ia menjadi sesuatu berbeza dan insya-Allah sebagai ubat. Kehebatan al-Quran terbukti sejak sekian lama. 



Terdapat hikmah, nur, penawar terlalu banyak dan hebat dalam al-Quran. Terdapat banyak rahsia penawar dalam al-Quran yang belum digali dan diteroka. Bahkan setiap huruf dalam al-Quran ada penawar dan kelebihannya. 



Oleh itu haruslah kita berbalik kepada kekuasaan Allah dan keajaiban al-Quran dalam menangani masalah zahir dan batin. 



Semoga molekul air bercahaya yang terbentuk dari bacaan al-Quran menjadi darah daging kita sekeluarga apabila dijadikan sebagai amalan harian. Tidak ada ragunya mukjizat al-Quran mampu menjadi penawar dan mencapai sesuatu hajat dengan keredaan Allah, insya-Allah.

hmetro.com.my

Tiada ulasan: