06 Oktober 2013

Muslimat PAS dicadang tubuh NGO ibu tunggal

1 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -



TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan Muslimat Pahang supaya menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani hal-hal kebajikan ibu-ibu tunggal (armalah) dan anak-anak yatim secara berterusan. 


Katanya, usaha itu juga penting sebagai satu fokus bagi meneruskan usaha dakwah sekali gus memberi keuntungan politik dalam jangka panjang terutama di kalangan masyarakat Melayu.



Tambahnya, Dewan Muslimat mesti melihat usaha ini sebagai satu agenda besar kerana dalam pilihan raya umum ke-14 dijangkakan jumlah pengundi wanita mengatasi pengundi lelaki.



“Jika berlaku kematian kebiasaannya muslimatlah yang akan ziarahi keluarga, maka jika kita sudah ada NGO tersebut memudahkan usaha berterusan untuk program kebajikan.



“Pentingnya peranan muslimat ialah mengambil berat tentang ibu-ibu tunggal. Ingat, kebiasaannya anak-anak akan dipengaruhi ibu. Umpamanya isteri Nabi Nuh tidak beriman, anaknya juga tidak beriman. Begitu juga dengan isteri Nabi Lut yang tak beriman, dituruti oleh anaknya. 



“Jadi inilah yang saya maksudkan pentingnya ibu tunggal diberi perhatian yang akhirnya boleh mempengaruhi keluarga,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri ke-25 di Darul Amin, Sungai Gau dekat sini hari ini.



Turut hadir Ketua Penerangan PAS Negeri, Suhaimi Md Saad, Timbalan DHPP Pusat, N Balasubramaniam, Adun Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dan Adun Triang, Leong Yun Mun. 



Beliau berkata, sehubungan dengan pertambahan pengundi wanita, PAS Pahang juga akan memperuntukkan beberapa kerusi bagi memberi peluang kepada muslimat untuk bertanding pada PRU akan datang.



Pada program yang sama Tuan Ibrahim turut melancarkan kutipan dana Kompleks PAS Pahang.



“Sudah sampai masanya PAS Pahang memiliki kompleks sendiri sebagai memandangkan semua PAS Kawasan sudah ada markas, semua Dun dan Cawangan sudah ada pejabat masing-masing,” katanya.



Dalam pada itu, semua jawatan tertinggi Muslimat Pahang dimenangi penyandang tanpa dicabar. Salamiah Mohd Nor kekal sebagai ketua, Wan Hamidah Wan Daud terus diberi kepercayaan sebagai timbalan manakala Alawiyah Ahmad sebagai naib.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: