13 October 2013

Pelajar UiTM dikerah kira undi Umno


8 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

SEGAMAT: PAS Kawasan Segamat mempersoalkan tindakan Umno Johor mengerahkan lebih 1,000 pelajar UiTM Segamat untuk berkhidmat sebagai pengira undi dalam pemilihan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri parti itu semalam.

Yang Dipertua PAS Kawasan Segamat, Firdaus Masood ketika menghubungi Harakahdaily berkata, sejak awal pagi, puluhan bas memasuki kampus UITM Segamat untuk membawa keluar para pelajar bagi menjadi petugas pemilihan Umno.

"Umno negeri Johor juga telah memperuntukkan wang untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar  UiTM Segamat dan Johor yang menjadi petugas pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di beberapa pusat pengundian di negeri ini.

Menurutnya, difahamkan setiap pelajar yang menjadi petugas akan menerima imbuhan lebih RM100 setiap seorang manakala makan minum dan penginapan sepanjang program disediakan Umno negeri.

"Perbelanjaan membayar pelajar-pelajar yang menjadi petugas ini berjumlah ratusan ribu ringgit dan sebahagiannya disalurkan kepada UITM Johor untuk membantu melancarkan proses pemilihan Umno kali ini," dakwanya.

Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Mas Ermieyati Samsudin masing-masing dipilih sebagai Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno setelah menewaskan pencabar masing-masing.

Keputusan rasmi pemilihan sayap parti Umno itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menghampiri jam 4.00 pagi.

harakahdaily.net

No comments: