19 Oktober 2013

Sah, Umno alergik dengan undi popular


14 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Shahbudin Husin,
Jawatankuasa Pemilihan UMNO akhirnya membuat pusingan u-turn berhubung keputusan untuk menentukan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO yang tergantung sejak seminggu lalu berikutan jumlah undi yang diperolehi oleh dua calonnya iaitu Khairul Azwan Harun dan Jamawi Jaafar terikat dengan kedudukan 73-73 pada pemilihan 12 Oktober lalu.

Selepas keputusan seri itu, Jawatankuasa Pemilihan kemudiannnya memutuskan pengiraan berdasarkan jumlah undi popular akan dilakukan untuk menentukan pemenang sebenar. Bagaimanapun semalam, kaedah undi popular itu tidak jadi dikira tetapi pengundian semula tiga bahagian pula akan dilakukan.

Berikutan pendirian JK Pemilihan mahu mengira undi popular untuk menentukan pemenang itu, Khairy Jamaluddin yang baru menang sebagai Ketua Pemuda UMNO dengan meraih 189 undi telah meluahkan rasa tidak setujunya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan pemenang ditentukan melalui undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum bermesyuarat.

KJ juga dilaporkan telah membawa isu itu kepada pengetahuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dipersetujui.

Pendirian KJ itu telah mencetuskan dakwaan bahawa beliau menolak kaedah undi popular kerana lebih cenderung mahukan Khairul Azwan yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak sebagai naibnya. Walaupun terikat dengan undi 73-73 tetapi jika pengiraan dilakukan berdasarkan undi popular, kelebihan pastinya memihak kepada Jamawi kerana beliau mendapat banyak sokongan daripada Pemuda bahagian-bahagian di Sabah yang mempunyai jumlah perwakilan cawangan lebih ramai.

Selain dakwaan lebih mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, KJ turut didakwa menolak undi popular kerana tidak mahu dibayangi oleh Anwar Ibrahim yang mempopularkan kaedah itu berikutan keputusan PRU13 yang menyaksikan Pakatan Rakyat meraih 51 peratus undi popular berbanding BN yang cuma 47 peratus, walaupun kekuarangan 23 kerusi untuk menawan Putrajaya.

Sejak itu perkataan undi popular sering menjadi basahan mulut Anwar dan lain-lain pemimpin PR untuk menggambarkan mereka lebih mendapat sokongan daripada rakyat berbanding BN.

Kini dengan JK Pemilihan sendiri membuat u-turn dan menolak undi popular dan memutuskan penentuan pemenang Naib Ketua Pemuda akan ditentukan melalui pengundian semula daripada Pemuda UMNO Gelang Patah, Sabak Bernam dan Bachok, secara langsung mengesahkan lagi bahawa UMNO memang takut dan alergik dengan undi popular.

Undi popular bagaikan hantu atau benda haram yang bukan saja cuba dielakkan daripada disebut dan didekati.

Tajol Rosli selaku Pengerusi JK Pemilihan dan urusetia di ibu pejabat UMNO yang diketuai oleh Tengku Adnan barangkali terlupa bahawa sistem undi popular adalah sinonim dengan Anwar Ibrahim dan tanpa berfikir panjang terus memilih cara itu untuk menentukan pemenang apabila keputusan bagi jawatan nombor dua dalam Pemuda itu didapati seri. Maklumlah, mereka pernah rapat dan menjadi penyokong Anwar Ibrahim sebelum ini!

Namun keputusan yang berubah-ubah dan tidak tetap ini tentunya mencalarkan kewibawaan JK Pemilihan, lebih-lebih lagi penolakan terhadap kaedah undi popular itu dilakukan setelah ia turut tidak dipersetujui oleh KJ sebelum ini.

Adakah KJ campurtangan dan mempengaruhi keputusan itu? Atau adakah Tengku Adnan dan ibu pejabat UMNO juga ada peranan tidak mengguna-pakai undi popular itu?

Persoalannya, apakah jika berlaku keputusan seri juga dalam pemilihan peringkat MT hari ini, kaedah undi popular akan ditolak juga, bahkan akan dicari bahagian-bahagian yang boleh dipertikaikan untuk diadakan pengundian semula?

Dalam konteks Naib Ketua Pemuda ini, dengan penentuan melalui tiga bahagian yang pengundian akan dilakukan pada 23 Oktober ini, siapa pemenangnya sudah boleh dijangkakan sebenarnya. Walaupun pengundian turut melibatkan keempat-empat calon Naib Ketua Pemuda yang turut bertanding, persaingan sebenar hanyalah antara Khairul Azwan dengan Jamawi.

Dengan hanya undi daripada tiga bahagian sebagai penentu dan kecenderungan KJ selaku Ketua Pemuda yang sudah mendapat mandat besar 189 undi dengan mudah dapat dibaca tentang siapakah orang nombor dalam Pemuda UMNO yang lebih dimahukannya, kelebihan pasti lebih memihak kepada Khairul Azwan.

Ketiga-tiga bahagian yang bakal mengundi pada 23 Oktober ini, sebagaimana amalan biasa dalam UMNO, akan bergerak mengikut arus saja. Kebarangkalian untuk berani menentang arus sangat tipis.

Sebab itu, dalam gambar yang tersiar di media-media semalam, ketika masing-masing akur dengan keputusan u-turn JK Pemilihan itu, Khairul Azwan ternampak lebih lebar senyumnya berbanding Jamawi Jaafar. -
http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: