19 October 2013

Ulang tahun ke-23 Kelantan Membangun Bersama Islam

14 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Wan Nik Wan Yussof,19 Okt 2013


TANGGAL 21 Oktober 2013, genap 23 tahun Kelantan ditadbir berpandukan dasar Membangun Bersama Islam. Suatu tempoh yang cukup untuk berbangga dengan kejayaan yang dicapai. Di samping tidak harus dilupakan juga pahit getir cabaran yang dihadapi sepanjang kepimpinan ulama menerajui kerajaan negeri Kelantan.

Namun, ulang tahun ke-23 kali ini agak signifikan kepada kerajaan dan rakyat negeri Kelantan. Ia berikutan perubahan pucuk kepimpinan ulama daripada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada kepimpinan baru yang diamanahkan kepada Ustaz Haji Ahmad Yakob.

Sebelumnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PAS bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum 21 Oktober 1990. Sementara pada pilihan raya umum ke-13 (5 Mei 2013) yang lalu, Tuan Guru telah bersara selepas 22 tahun 6 bulan 14 hari berkhidmat. Sepanjang khidmatnya, Tuan Guru telah menampilkan kepimpinan yang berjaya memartabatkan dasar dan peraturan Islam dalam kerajaan negeri mahupun di kalangan rakyat Kelantan.

Ketika Tuan Guru menerima amanah selaku Menteri Besar, beliau berusia 59 tahun dan pada tarikh persaraan (5 Mei lalu) usianya 82 tahun. Satu usia yang cukup matang bersama-sama dengan pengalaman kepimpinan ulama yang diterajuinya di peringkat kerajaan negeri mahupun peringkat parti Islam (PAS).

Justeru Ustaz Ahmad adalah penerus dan pewaris amanah kepimpinan ulama yang cukup layak. Beliau adalah pelapis yang rapat dengan Tuan Guru sejak mula-mula PAS  bangkit memperkenalkan kepimpinan ulama (1982).

Pengalaman Ustaz Ahmad bersama-sama pentadbiran Tuan Guru (menyertai kabinet kerajaan negeri) telah bermula setelah beliau dipilih sebagai ahli Dewan Negeri Kelantan pada pilihan raya umum 1995 mewakil Dun Pasir Pekan. Kemudian dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 1997, iaitu selepas pembubaran parti Semangat 46 yang membawa keluarnya Angkatan Perpaduan Ummah dari kabinet kerajaan negeri.

Bakat dan kepimpinan Ustaz Ahmad mendapat perhatian Tuan Guru yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar selepas pilihan raya umum 2004. Beliau menggantikan Ustaz Abdul Halim Abd Rahman yang telah bertanding di parlimen Pengkalan Chepa.

Kini beban amanah kepimpinan kerajaan negeri disambung dengan gigih oleh Ustaz Ahmad. Beliau sedia dibantu oleh saf ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan para pegawai yang sudah serasi dan sedia menghayati teras ubudiyah, masuliah dan itqan dalam urus tadbir yang dicetuskan oleh Tuan Guru.

Kajian keyakinan

Sehubungan dengan Kelantan menyambut ulang tahun ke-23 pentdbiran Membangun Bersama Islam ini, satu kajian keyakinan rakyat kepada kepimpinan baru telah dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik pada bulan Ogos yang lalu. Kajian yang melibatkan 937 responden yang mewakili tiga lokasi utama, iaitu kawasan Bandar (366 responden), pinggir bandar (361 responden) dan luar Bandar (210 responden). Ia juga mewakili pelbagai peringkat umur dan kaum.

Kajian itu telah mengemukakan empat isu pokok berkenaan kepimpinan dan peralihan kepimpinan daripada Tuan Guru kepada Ustaz Ahmad. Pertama berkenaan gabungan kepimpinan kerajaan negeri antara ulama dan iktisas, keduanya mengenai integriti dan urus tadbir tanpa rasuah, ketiganya kepimpinan baru sebagai penerus imej Islamik yang diasaskan oleh Tuan Guru dan keempat berkenaan keupayaan kepimpinan baru dalam menguruskan pentadbiran dan pembangunan negeri ke arah yang berkat, makmur dan kebajikan.

Oleh itu, kajian tersebut telah mendapati rata-rata responden memberi maklum balas yang agak positif di atas peralihan dan kepimpinan baru keajaan negeri Kelantan. Penemuannya (sikap positif), di atas isu gabungan kepimpinan (77.7 peratus), mengenai integriti dan urus tadbir (72.2 peratus), kepimpinan penerus imej Islamik (86.7 peratus) dan keupayaan menguruskan pentadbiran dan pembangunan negeri (80.6 peratus).

Ustaz MB

Berikutan penemuan kajian itu, ia memberi petanda betapa keyakinan (agak positif)  rakyat itu sebagai dorongan untuk tidak selesa dengan keputusan pilihan raya lalu. Ia suatu keberkatan daripada kepimpinan Tuan Guru. Justeru tugas berat kepimpinan baru Ustaz Ahmad adalah meneruskan kemakmuran dan asas-asas berkebajikan negeri bagi menyambung segala usaha yang telah dibuktikan oleh Tuan Guru.

Di atas komitmen itu, Ustaz Ahmad yang dipopularkan juga dengan panggilan Ustaz Menteri Besar (Ustaz MB) tidak menunggu lama bagi melakukan penambah baikan pentadbiran. Fokus utama adalah mempastikan harapan rakyat di sebalik mandat dan kepercayaan daripada pilihan raya umum lalu dilaksanakan.

Sehubungan itu, pihak Ustaz MB telah mengarahkan agensi pelaksana di bawah setiap ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat digerakkan secara maksimum. Tujuannya bagi mempastikan lebih daripada 50 program dan projek yang terkandung dalam sembilan tawaran (manifesto) pilihan raya umum ke-13 yang lalu dapat dijayakan. Di samping kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini (misalnya projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya) diteruskan dan diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti.

Sambutan ulang tahun

Oleh kerana itu, sambutan ulang tahun ke-23 ini diadakan sebagai membuka ruang untuk kepimpinan baru kerajaan menzahirkan komitmen. Di samping pelbagai lapisan rakyat diberikan ruang untuk menyampaikan harapan dan pandangan demi memacu perjalanan kerajaan berjaya di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Sambutan yang dijadualkan sehari suntuk bermula daripada pagi sampai lewat malam akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV akan dimulakan dengan majlis perasmian oleh menteri besar. Ia diikuti dengan majlis penghargaan kepada Tuan Guru selaku mantan menteri besar. Kemudian pada sesi petangnya akan diadakan pelbagai persembahan seni warisan dan ucapan daripada pelbagai lapisan rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan. Sementara di sebelah malamnya pula akan diadakan ceramah umum pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.

Harapannya, sambutan ulang tahun ke-23 pentadbiran Membangun Bersama Islam negeri Kelantan pada kali ini menatijahkan semangat dan keazaman tinggi pemimpin dan rakyat untuk terus bersama kepimpinan ulama. Semoga rahmat-Nya menjadikan Kelantan terus utuh dengan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan bersama pemimpin dan rakyatnya.
_________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

No comments: