16 Oktober 2013

Takziah buat keluarga Almarhum Datuk Adnan


11 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,16 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Adnan Othman, 69, yang kembali ke rahmatullah kira-kira jam 7.40 malam tadi di kediamannya di Kota Damansara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan ringkas mewakili kepimpinan dan ahli parti itu merakamkan takziah buat keluarga almarhum dan berharap mereka bersabar di atas ujian Allah itu.

“Semoga Allah menempatkan almarhum bersama-sama dengan hamba-hamba-Nya yang soleh,” ujarnya.

Jenazah almarhum akan dibawa ke Masjid Kota Damansara untuk dimandi dan dikafankan sekitar jam 8.30 pagi dan seterusnya disembahyangkan jam 10.00 pagi.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara untuk dikebumikan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan almarhum yang merupakan bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia secara rasmi menyertai parti itu pada 2 April lalu dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Agung PAS.


Tiada ulasan: