08 November 2013

Idris Ahmad tolak tanding Naib Presiden PAS

4 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad memutuskan untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan parti bagi sesi 2013-2015, sebaliknya hanya menerima untuk bertanding di peringkat Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.

Ketika dihubungi Hrakahdaily, hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata keputusan yang dibuatnya itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya telah diperhalusi beliau sendiri.

"Saya fikir, cukuplah untuk AJK.  Belum masanya untuk saya bertanding untuk jawatan naib presiden.  Apa yang penting, bagi saya untuk memastikan parti dalam perjuangan yang diterima masyarakat, yang boleh menjadi amal soleh apabila kita mati kelak," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kawasan yang mencalonkan beliau untuk kedua-dua jawatan tersebut, bagaimanapun memohon maaf kerana menolak pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden

Ustaz Idris telah menyerahkan surat pengesahan untuk bertanding kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti semalam, sebelum ia ditutup petang ini.

Selain Ustaz Idris, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan telah menarik diri untuk bertanding jawatan ini.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik yang turut tercalon juga telah mengesahkan bertanding bagi jawatan ini.

Tiga penyandang jawatan ini termasuk Salahudin Ayub telah menyatakan kesediaan untuk mempertahan jawatan ini manakala Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa belum menyatakan pendirian.

Selain Mahfuz dan Husam, dua lagi yang belum membuat keputusan adalah Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Harakahdaily/-

No comments: