08 November 2013

Saya tidak menyeru PAS dibatal pendaftaran – Karpal


4 Muharram 1435H. [MOD] -

Harakahdaily,08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: “Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu,” tegas Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

Justeru, beliau yang juga dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadapnya oleh beberapa pemerhati politik, ahli akademik dan para pengulas politik tertentu. 

“Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadap saya oleh beberapa pemerhati politik, mereka yang kononnya ahli akademik dan para pengulas tertentu terhadap kenyataan saya pada Selasa lalu berkenaan parti-parti politik dan badan-badan profesional yang ditubuhkan dengan garis perkauman harus membuka pintu kepada semua kaum atau dibatalkan pendaftarannya, khususnya kenyataan saya yang dikatakan bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya.


Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini.

Terence Netto telah benar-benar termakan dengan putar belit Utusan Malaysia bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya; yang kemuncaknya menyifatkan saya sebagai seorang yang cuai serta tidak cermat dan saya tidak bertambah matang seiring dengan usia dan pelbagai kata-kata buruk lain di dalam artikelnya.


Saya terkejut bagaimana Terence Netto yang telah meningkat usianya tetapi tidak banyak mengambil pengajaran. Tidak mahu kalah, sesetengah orang kuat PAS pun turut terjun ke dalam kancah yang buruk ini melalui kritikan mereka terhadap saya tentang dakwaan seruan saya ke atas PAS itu.

Sudah tentu, terdapat ramai lagi, termasuklah seorang profesor, yang turut mempamerkan ketidakmatangan dengan mengeluarkan kenyataan tanpa memastikan kebenaran fakta atau memastikan saya telah benar-benar membuat dakwaan itu terhadap PAS.

Benar, saya telah menyeru agar Persatuan Peguam-Peguam Muslim dibatalkan pendaftarannya kerana mengecam Majlis Peguam bahkan, melakukan ugutan jenayah, terhadap majlis itu kerana menyokong mingguan Katolik Herald berkenaan penggunaan kalimah Allah.


Presiden kepada Persatuan Peguam-Peguam Muslim mengugut akan bertindak ke atas Majlis Peguam. Saya tegas dengan pendirian saya menyeru agar dibatalkan pendaftaran Persatuan Peguam-Peguam Muslim yang ditubuhkan pada tahun 1988 ketika kemuncak pemecatan Tun Salleh Abas dan terang-terang mendapat sokongan penuh perdana menteri waktu itu Dr. Mahathir, yang langsung membawa kepada perhimpunan dan demonstrasi agak ganas di hadapan pejabat Majlis Peguam berdekatan stesen Masjid Jamek.

Benar, saya telah menyatakan bahawa parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum yang malang sekali termasuklah PAS, sepatutnya membuka pintu kepada kaum lain; akan tetapi saya lekas menambah bahawa PAS telah pun memperakui keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan sayap penyokong bukan bergama Islam.


Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu.


Terence Netto dan mereka yang seangkatan dengannya jelas telah terlepas pandang akan perkara itu. Sama ada disengajakan atau disebabkan oleh nurani personaliti-personaliti ini.


Bolehkah PAS menafikan ia telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebelum pilihan raya umum 2004?


Bolehkah PAS menafikan ia telah bersetuju untuk meletakkan calon bukan beragama Islam di dalam pilihan raya umum 2013?


Bolehkah PAS menafikan bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, pada 13.10.13 telah berkata, ketika ditanya sama ada keahlian penuh akan diberikan kepada bukan beragama Islam berikutan sokongan besar yang PAS terima daripada DHPP di dalam pilihan raya umum, beliau berkata,


‘Buat masa ini, kami mempunyai sayap penyokong PAS (DHPP) untuk yang bukan beragama Islam. Ia adalah cara yang baik untuk kami meletakkan di kami di kalangan bukan beragama Islam. Seterusnya, cabaran kami ialah untuk menjadikan diri kami releven di kalangan semua rakyat Malaysia. Cabaran kami sekarang adalah untuk mengekalkan sokongan yang kami terima daripada bukan beragama Islam dan meningkatkan sokongan daripada umat Islam’?


Bolehkah PAS menafikan pada pilihan raya umum 2008, ia meletakkan calon dari masyarakat India, R. Kumutha, untuk bertanding kerusi dewan undangan negeri Tiram di kawasan parlimen Johor Bharu?


Bolehkah PAS menafikan pada 6.11.2013, DHPP melalui setiausahanya K. Deepakaran dalam membahaskan ucapan dasar Presiden sewaktu Muktamar PAS di Pengkalan Chepa menggesa ahli parti supaya tidak melihat DHPP dengan rasa curiga sebaliknya menganggap golongan bukan beragama Islam di dalam PAS sebagai sebahagian daripada jenteranya.


‘Kita ikhlas dan sukarela nak memberi sokongan kepada sebuah parti Islam di Malaysia iaitu PAS. Saya selalu katakan DHPP adalah tentera perjuangan Islam. Kenapa saya katakan kami tentera Islam? kerana Islam untuk semua, Islam hadir untuk semua dan terima kasih untuk logo PAS For All’.


Beliau juga menekankan, ‘Kalau dahulu memang PAS untuk orang Islam sahaja tapi sekarang PAS sudah terbuka kepada semua yang mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam’.


Di sidang akhbar pada hari Selasa, saya menekankan sekali lagi, saya tidak meminta PAS dibatalkan pendaftarannya malah memberikannya talian hayat dengan menyatakan bahawa PAS telah sedar keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan DHPP tidak seperti Umno, MCA dan MIC yang jelas-jelas merupakan parti rasis yang perlu dibatalkan pendaftarannya.


Saya tidak meletakkan PAS di dalam bakul yang sama apabila saya menentang parti politik dan badan profesional yang ditubuhkan atas dasar kaum. Saya telah menyatakan kebenaran. Tuntutan memohon maaf oleh pemimpin-pemimpin PAS tidak akan dipenuhi. Itu saya boleh jamin.

PAS seharusnya sudah boleh menunjukkan keikhlasannya dengan menjadikan DHPP sebagai ahli penuh parti. Jauh daripada dibatalkan pendaftaran, tindakan sedemikian akan menjadikan PAS salah satu parti politik berbilang kaum di negara ini.

No comments: