07 November 2013

Kami hidup suasana harmonis – Cina Kelantan


3 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily/-
KOTA BHARU: “Tinggal di Kelantan yang diterajui kepemimpinan ulama tidak pernah menghalang kami melakukan amalan dan budaya mengikut kaum Cina.

“Tidak pernah ada halangan dibuat kerajaan negeri yang ditadbir PAS sejak lebih 23 tahun lalu. Malah kami dapat hidup dalam suasana harmonis,” kata aktivis masyarakat Cina, Chia Chuan Lay.

Beliau berkata, tidak benar sama sekali kalau pihak yang mendakwa orang bukan Islam terkongkong di Kelantan sejak ditadbir PAS.

Malah katanya, di Kelantan terdapat tokong Buddha terbesar di Malaysia sama ada yang dibina dalam keadaan berbaring, berdiri atau duduk.

“Itu secara jelas menggambarkan Islam tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk mengamal agama dan budaya masyarakat mereka,” katanya di sini.

Pengerusi DAP semalam dilapor menyarankan supaya parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama diubah suai supaya boleh disertai semua kaum.

Kata beliau kaedah itu merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini dan sudah tiba masa semua parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftaran.

Bagaimanapun laporan itu agak berbeza seperti dilaporkan akhbar Cina termasuk Nanyang Siang Pau, di mana Karpal menyebut PAS sudah disertai pelbagai kaum kerana ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Nanyang juga dipetik melapor PAS juga mencalonkan orang bukan Islam menjadi calon mewakili parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Chia yang juga bekas petugas media berbahasa Cina berkata, kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS tidak pernah mengenepikan masyarakat Cina, India atau Orang Asal.

“Ada pemimpin masyarakat terbabit dilantik sebagai penghulu, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan pelbagai lagi jawatan.

“Ini sudah jelas menggambarkan tiada diskriminasi kaum biar pun Kelantan ditadbir berasaskan agama,” katanya.

Rakannya, Lim Guan Seng pula pula memberitahu ramai rombongan masyarakat bukan Islam yang datang dari luar Kelantan melahirkan rasa kagum terhadap kehidupan kaum Cina di sini.

Katanya, mereka memberitahu kaum Cina dan India biar pun minoriti, namun diberi hak sama rata dengan orang Melayu bagi menikmati kemudahan disediakan kerajaan.

Kata beliau baru-baru ini rombongan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur ketika datang ke sini juga meluahkan rasa kagum dengan kehidupan kaum minoriti di Kelantan.

Rombongan tersebut diketuai Ng Geok Chee dibawa melihat dekat kehidupan masyarakat Cina di bandar Kota Bharu, perkampungan Siam di Tumpat, wat-wat Buddha dan Masjid Beijing di Rantau Panjang.

“Mereka meluahkan rasa kagum melihat kehidupan masyarakat minoriti. Malah ada restoran di mana orang Cina dan Melayu berniaga di kedai sama,” ujarnya.

Tiada ulasan: