07 November 2013

Tuan Ibrahim umum tanding Naib Presiden


3 Muharram 1435H. [MOD] -

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man lewat petang ini mengeluarkan kenyataan tentang jawatan yang akan ditandinginya.

Beliau mengumumkan menerima pencalonan untuk jawatan Naib Presiden dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Keputusan penerimaan pencalonan

Terdahulunya, saya ucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya  dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan masing-masing.

Pencalonan ini adalah satu penghormatan tinggi kepada saya. Setelah surat pencalonan yang dihantar oleh Jawatankuasa pemilihan, saya dapati ada tiga jawatan yang dicalonkan, iaitu Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat. Saya berasa amat bertuah atas kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh kalian semua.

Di dalam Perlembagaan PAS, hak pencalonan diberikan sepenuhnya kepada PAS kawasan, manakala yang dicalon pula diberikan hak untuk menerima atau tidak menerima.

Keputusan seseorang calon untuk tidak menerima pencalonan bukan bermakna calon tidak menghargai pencalonan kawasan; manakala keputusan menerima pula tidak harus dilakukan sekadar untuk alasan merai kehendak kawasan.

Pada pandangan saya, kepimpinan adalah amanah besar yang perlu dipikul di dunia sampai ke akhirat. Kerana itu, keputusan menerima atau tidak menerima perlu dilakukan berdasarkan kemampuan seseorang untuk memikul amanah tersebut. PAS kini berhadapan dengan cabaran besar masa depan dan muafakat dalam Pakatan Rakyat yang perlu diperkukuhkan serta ukhuwah jamaah yang perlu diperkasakan, antara faktor penting dalam penilaian kemampuan menerima atau tidak sesuatu jawatan itu.

Walaupun saya amat menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden, namun pada saya, jawatan itu adalah sangat besar dan di luar kemampuan saya untuk memikulnya buat masa kini, tambahan pula terdapat beberapa nama lain yang layak untuk memikul amanah ini.

Tambahan pula buat masa ini, saya masih diamanahkan sebagai Pesuruhjaya Negeri Pahang, yang memerlukan tumpuan gerakerja dan masa yang banyak bagi menghadapi PRU ke-14 akan datang.

Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar PAS ke-59 kali ini.

Penerimaan ini adalah seimbang bagi merai kehendak kawasan yang mencalonkan saya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Presiden.

Namun, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan parti dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan.

Keputusan untuk bertanding Naib Presiden adalah keputusan yang diambil diri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana- mana pihak. Ia lebih kepada penilaian diri dengan kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Sebagai seorang ahli PAS, saya tetap istiqamah dalam memberi khidmat dan terus berusaha menguatkan jamaah dan memenangkan parti Islam sekalipun tanpa sebarang jawatan.

Akhirnya, saya ingin berpesan agar jangan sesekali kita termasuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh bagi memecah-belah antara kita, dan jangan pula kita membenarkan apa yang musuh tuduh kepada kita. Semua pihak sama ada aktivis, ulamak atau profesional adalah tenaga penting bagi memperkukuhkan perjuangan parti.
erikut kenyataan penuh beliau.

Mari kita memperkukuhkan jamaah ini dengan memelihara ukhuwah, thiqah pada pimpinan dan menghargai mereka yang lama dalam perjuangan yang berliku ini, serta tasamuh dalam perbezaan pandangan. Setiap orang perlu memainkan peranan sebagai faktor penyatu parti. Menyatukan parti tidak harus diletakkan di atas bahu mana-mana individu tertentu sahaja.

Kepada semua yang telah memberikan sokongan, kepercayaan, bantuan, nasihat dan teguran kepada saya, saya ucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Salam dari Doha
7 November 2013

No comments: