07 November 2013

PAS gesa Karpal sendiri beri penjelasan

3 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:PAS meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil memberi penjelasan terbuka terhadap tuduhan kononnya beliau mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu penting bagi merungkai segala kekeliruan yang timbul akibat laporan media yang memetik kenyataannya sebelum ini.

"Apa yang penting beliau (Karpal) sendiri perlu tampil beri penjelasan, bukan melalui pihak lain.

"Ini untuk kita semua dapat gambaran sebenar," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam penjelasannya, Kit Siang berkata, beliau telah bercakap dengan Karpal dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Justeru, Kit Siang meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Isu ini timbul ekoran laporan kononnya Karpal mahu pendaftaran PAS dibatalkan atas cadangannya agar parti politik atau pertubuhan berasaskan kaum dan agama boleh menghalang perpaduan kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika kenyataan itu dimanipulasi media, maka Karpal perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.

"Sebaliknya, kalau laporan itu betul, Karpal harus berlapang dada dan berjiwa besar untuk tampil memohon maaf kepada PAS dan seluruh ahli dan penyokong.

"Kita yakin beliau boleh berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli politik senior," katanya.

No comments: