16 November 2013

Kes denggi, kematian meningkat di seluruh negara

12 Muharram 1435H. [MOD] -
Jumlah kes demam denggi dan kematian akibat jangkitan itu di seluruh negara sejak Januari hingga 9 November lepas mencatat peningkatan, berbanding tempoh sama tahun lalu.
    
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata sejumlah 31,170 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 67 peratus daripada 18,679 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

    
Sementara kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada 63 kematian berbanding 32 kematian iaitu peningkatan sebanyak 97 peratus bagi tempoh sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan semalam.
    
Beliau berkata pemantauan yang dilakukan melalui analisa KKM terhadap empat jenis serotype virus denggi iaitu DEN 1,2,3, dan 4, menunjukkan berlakunya pertukaran tren serotype bermula dari bulan Februari tahun ini.
    
"Di mana serotype dominan DEN 3 pada akhir tahun 2012 dan Januari 2013 bertukar kepada jenis serotype DEN 2 pada tahun ini. Pertukaran serotype adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes dan kematian," katanya.

Lokman berkata 412 lokaliti berwabak denggi dipantau di seluruh negara setakat ini, dengan 79 lokaliti kawasan panas dikenal pasti melibatkan hanya di Selangor.
    
"Lokaliti kawasan panas in berlaku di empat daerah di negeri Selangor iaitu 38 lokaliti di daerah Petaling, 30 lokaliti di daerah Hulu Langat, sembilan lokaliti di daerah Gombak dan dua lokaliti di daerah Sepang," katanya.
    
Beliau berkata bagi tempoh 3 hingga 9 November lepas (minggu ke-45), sejumlah 1,416 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.
    
"Iaitu Perlis yang meningkat sebanyak lima kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (34 kes), Negeri Sembilan (enam kes), Sarawak (tiga kes), Terengganu (dua kes), Kedah (satu kes) dan Johor sebanyak lima kes," katanya.
    
Justeru, katanya orang ramai diingatkan agar memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes berada di kawasan kediaman bersempena cuti persekolahan yang akan bermula.
    
"Langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil bagi mengelak jangkitan denggi seperti menggunakan bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk.
    
"Terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit pada awal pagi dan lewat petang," katanya.

Bernama

No comments: