16 November 2013

Umno salah guna RM40 juta selamatkan Utusan

12 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden Umno,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, semalam berkata memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas rancangan Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘two call rights issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.


Harakahdaily

No comments: