16 November 2013

K'jaan siasat import plat timah dari China, Korea Selatan

12 Muharram 1435H. [MOD] -
Kerajaan memutuskan untuk memulakan penyiasatan ke atas import plat timah elektrolisis yang berasal atau di eksport dari China dan Korea Selatan.     

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kerajaan menerima petisyen daripada Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd (Perstima), bagi pihak industri tempatan yang menghasilkan plat timah.

Perstima mendakwa plat timah diimport ke Malaysia pada harga yang jauh lebih rendah daripada sebut harga dalam pasaran domestik negara pengeksport. 
    
"Pempetisyen mendakwa situasi itu menjejaskan industri tempatan di Malaysia," kata Miti dalam satu kenyataan.
    
Kementerian itu berkata kerajaan telah menjalankan dan menyempurnakan siasatan ke atas pengeluar dan pengimport di Malaysia serta pengeluar dan pengeksport di negara-negara yang didakwa.
    
Skop produk yang disiasat meliputi plat timah elektrolisis yang diklasifikasikan di bawah kod 'Malaysian Harmonised System' (H.S.Code) 7210.12.200, katanya
    
Miti berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan pungutan  duti anti-lambakan tidak melebihi tempoh lima tahun, berkuat kuasa mulai hari ini.
    
Pihak yang berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan berkaitan penyiasatan) boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit  daripada laporan awam mengenai penentuan muktamad ini dengan mengemukakan permohonan bertulis kepada kementerian.

- Bernama

No comments: